KOTA BHARU: Empat beradik bertekad mencapai kejayaan dalam pelajaran untuk membalas jasa dan pengorbanan dicurahkan oleh tiga kakak mereka yang membanting tulang memastikan masing-masing kekal bersekolah.
Muhammad Akil Zamani Zainuddin, 16, berkata, sejak ibu bapa mereka berpisah, ketiga-tiga kakaknya menggalas tanggungjawab mencari rezeki untuk menyara keluarga.
“Sebelum ibu meninggal dunia akibat kanser servik pada Mei lalu, kakak sudah banyak berkorban untuk kami. Makan, pakai dan persekolahan kami semua diurus dan ditanggung oleh mereka bertiga.
“Melihat kecekalan mereka, saya dan tiga lagi adik berazam mahu berjaya dalam pelajaran bagi ‘membayar’ semua pengorbanan yang dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa menerima kunjungan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Zainuddin Ghazali yang menyampaikan bakul makanan dan sumbangan wang tunai menerusi Ziarah Kasih Madani di sini, semalam.
Hadir sama sama Penolong Hal Ehwal Murid (HEM) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Zulkifli Ibrahim yang memaklumkan akan memberi Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) bencana kepada empat beradik dan lain-lain mengikut keperluan.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, tiga kakak dari Kampung Padang Bongor di sini, sanggup mengerah kudrat bagi memastikan empat adik mereka tetap ke sekolah meskipun mereka hidup dalam serba kekurangan.
Nur Zuriati Kamaruddin, 22, berkata, dia dan dua adiknya iaitu Nur Zulaiha, 21, serta Nurzu Akmaniza, 18, berbuat demikian semata-mata mahu melihat empat adik mereka itu tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Muhammad Akil Zamani berkata, meskipun hidup dalam serba kekurangan, dia dan adik-adiknya tetap tabah menghadapi dugaan sedemikian.-UTUSAN.










