KANGAR: Isu ketirisan dan penyeludupan petrol bersubsidi khususnya di negeri bersempadan Thailand dapat dikawal menerusi pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) serta inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Rohaida Hassan berkata, berdasarkan statistik sejak awal tahun ini sehingga September, hanya 13 kes penyeludupan petrol direkodkan di negeri ini manakala diesel pula sebanyak lima kes.
Katanya, nilai rampasan secara keseluruhan bagi kes penyeludupan petrol dan diesel direkodkan berjumlah RM12,236.40 bagi tempoh sama.
“Menerusi pelaksanaan inisiatif berkenaan, saya percaya isu seludup petrol atau masalah ketirisan bahan api itu akan terus berkurangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Baru-baru ini akhbar ini melaporkan, harga petrol di Malaysia yang jauh lebih murah berbanding Thailand menyebabkan rakyat negara itu masuk ke negeri ini untuk mendapatkan bahan api tersebut.
Ketika ini, harga petrol tanpa subsidi di sini ditetapkan pada kadar RM2.60 seliter jauh lebih rendah berbanding Thailand iaitu sekitar 40.94 baht atau RM5.35 seliter bagi jenis Benzine 95, gred sama dengan RON95 di Malaysia.
Keseluruhan rakyat Malaysia yang layak kini mula menikmati harga petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga semasa RM2.60 selepas kerajaan memperuntukkan kelayakan subsidi 300 liter sebulan untuk seorang.
Rohaida berkata, menerusi pelaksanaan itu, pihaknya akan memberi penumpuan terhadap beberapa aspek antaranya dengan melihat sebarang kelompongan terhadap pelaksanaan sistem tersebut termasuk penggunaan fleet card buat syarikat pengangkutan awam darat.
Katanya, dalam masa sama, KPDN negeri juga akan memantau isu penyalahgunaan kad pengenalan di samping memastikan hanya kenderaan bernombor pendaftaran tempatan sahaja boleh membuat pengisian petrol RON95.
Katanya, kenderaan asing pula perlu menggunakan RON97.
“Bagi pelaksanaan SKPS dan BUDI95 ini, KPDN negeri juga telah mengarahkan pegawai dan anggota penguatkuasa melakukan pemantauan di lapangan termasuk stesen-stesen minyak. Bagi KPDN negeri, fokus kita adalah terhadap pelaksanaan SKPS membabitkan syarikat-syarikat pengangkutan awam darat ini,” katanya.-UTUSAN.










