SEMASA cuti panjang sempena cuti sekolah dan Hari Malaysia pertengahan bulan lalu, jalan raya di sekitar bandar raya Kuala Terengganu sesak luar biasa dengan kenderaan dari luar negeri membanjiri hampir semua laluan utama.
Trafik menuju Pasar Payang bergerak perlahan manakala laluan dari Pantai Seberang Takir ke Jambatan Angkat sesak dengan deretan kenderaan seolah-olah tidak putus-putus memasuki pusat bandar.
Secara purata, sebanyak 60,000 kenderaan sehari direkodkan memasuki negeri ini melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sepanjang sambutan musim cuti berkenaan.
Jumlah itu tidak termasuk kenderaan yang masuk melalui jalan negeri dari Kemaman atau Besut.
Situasinya seperti musim perayaan, lazimnya tidak sesesak ini walaupun semasa cuti biasa. Dalam laman sosial, pengunjung meluahkan pengalaman indah berada di negeri ketujuh terbesar dan ke-10 paling berpenduduk di Malaysia ini.
Faktor yang menarik kunjungan orang ramai ke Terengganu adalah kerana keindahan alam semula jadi termasuk pantai dan pulau-pulau, warisan budaya, keenakkan juadah tradisional dan keramahan penduduknya. Ia disulami dengan strategi seperti menjadikan Festival Candat Sotong, Pelita Raya dan Karnival Pantai sebagai fokus tarikan utama dalam kalendar pelancongan negeri selain 31 acara sampingan.
Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyaksikan Terengganu muncul sebagai negeri paling bahagia di Malaysia dengan skor 8.64. Pencapaian ini meletakkan Terengganu dalam kategori sangat bahagia sekali gus mencerminkan tahap kesejahteraan sosialnya.
Pengiktirafan ini memperkukuh jenama Terengganu sebagai lokasi percutian pilihan. Ia juga menjadi satu petanda yang sangat positif sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027 dan paling hampir, Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Statistik enam bulan pertama tahun ini merekodkan kehadiran lebih 6.9 juta pelancong ke Terengganu. Ia hampir menyamai sasaran tahunan sebanyak 8.5 juta pengunjung. Jumlah tersebut menunjukkan perkembangan positif apabila pelancongan domestik merangkumi hampir 70 peratus manakala selebihnya terdiri daripada pengunjung antarabangsa.
Perkembangan ini adalah selaras dengan hasrat menjadikan sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama untuk pertumbuhan ekonomi Terengganu dengan memanfaatkan peluang kempen TMM2026 dan Tahun Melawat Terengganu 2027.
Kombinasi tarikan sedia ada yang digaul dengan strategi memperkenal produk-produk baharu serta penganjuran pelbagai acara menjadi resepi terbaik memikat kehadiran pengunjung ke negeri Pantai Timur ini.
Momentum positif kehadiran pelancong ke Terengganu perlu dikekalkan. Industri pelancongan yang rancak bukan bukan sahaja memberi manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan melalui peningkatan pendapatan peniaga kecil, penciptaan perkhidmatan dan produk baharu serta pertumbuhan industri seperti inap desa dan makanan laut tempatan. Ia juga melonjakkan ekonomi negeri secara keseluruhan.
Berbaki kurang tiga bulan sebelum TMM2026, orang ramai sudah boleh berkira-kira pulau atau kawasan mana di Terengganu yang mahu diterokai. Produk pelancongan yang ingin dicuba atau juadah apa hendak dinikmati. ‘Negeri paling bahagia’ menanti anda.-UTUSAN.










