Misi Sumud Flotilla, kapal kecil gelombang besar

Misi Sumud Flotilla, kapal kecil gelombang besar

MISI Sumud Flotilla sarat dengan mesej yang menuntut masyarakat dunia agar tidak lagi berdiam diri jika berlaku kekejaman apatah lagi mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA bersyukur semua pejuang misi kemanusiaan Sumud Flotilla selamat walaupun ‘ditawan’ tentera Zionis Israel.

Insiden ini bukan sekadar episod pelayaran tetapi simbol keberanian insan kecil yang menentang keangkuhan kuasa besar.

Sejak awal, pelayaran misi kemanusiaan ke Gaza memang mendapat dukungan kuat dari seluruh dunia, merentas agama, bangsa dan negara. Ia bukan sekadar ucapan protes politik yang lazim didengar tetapi sebuah tindakan nyata mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan penduduk Gaza daripada kezaliman yang berlarutan.

Sumud Flotilla sarat dengan mesej yang menuntut masyarakat dunia agar tidak lagi berdiam diri jika berlaku kekejaman apatah lagi mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa.

Tanpa pangkat atau bintang kebesaran, mereka rela meninggalkan keluarga demi membawa secebis harapan buat penduduk Gaza yang kebuluran, sakit dan terkepung.

Mereka bukan sekadar aktivis tetapi pejuang keadilan sejagat. Semangat juang mereka bukan calang-calang hatta sanggup berhadapan dengan tentera Zionis yang lengkap bersenjata canggih. Niat mereka jelas dengan misi menjadi keutamaan, semangat menjadi senjata dan Gaza tetap menjadi destinasi keadilan.

Jika armada laut menjadi pagar perairan negara daripada pencerobohan, maka Sumud Flotilla pula adalah gelombang kesatuan masyarakat dunia yang cintakan keamanan. Kita masih ingat tragedi Mavi Marmara pada 2010, apabila sembilan aktivis terkorban dalam serangan mengejut tentera Israel.

Namun keberanian itu tidak pernah pudar, malah diteruskan oleh tokoh seperti Greta Berlin melalui Free Gaza Movement. Maka, Sumud Frotilla hari ini adalah kesinambungan sejarah keberanian yang tidak mengenal gentar dan ugutan.

Dari perspektif undang-undang laut antarabangsa, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982 menetapkan perairan antarabangsa adalah laluan bebas dan kapal awam berhak berlayar selagi tidak mengancam keselamatan negara lain.

Justeru, penahanan kapal bantuan kemanusiaan di kawasan tersebut dianggap bercanggah dengan prinsip kebebasan pelayaran. Meskipun pelbagai kecaman dibuat terhadap Israel di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), usaha menegakkan keadilan sering terbantut oleh kuasa veto, khususnya Amerika Syarikat (AS). Hal ini menimbulkan persoalan peranan sebenar kuasa besar atau veto dalam usaha menegakan undang-undang antarabangsa.

Misi kemanusiaan seperti ini mengingatkan kita perjuangan besar sering bermula daripada langkah kecil. Sama seperti perjuangan kemerdekaan tanah air yang digerakkan oleh rakyat biasa, usaha membawa bantuan ke Gaza tidak boleh ditentukan oleh kuasa-kuasa besar atau PBB. Benar kata Mahatma Gandhi, “kekuatan moral lebih berkuasa daripada senjata.”

Justeru, misi Sumud Flotilla adalah manifestasi suara rakyat kerdil yang berada di dalam sebuah kapal kecil menongkah gelombang besar. Walaupun risiko mengancam keselamatan pelayaran, semangat kemanusiaan tidak pernah luntur malah semakin kuat menghadapi cabaran.

Ironinya, Sumud Flotilla gagal menyempurnakan misinya, namun berjaya mencipta gelombang kesedaran masyarakat dunia, bahawa setiap kali ada penindasan, pasti ada yang akan bangkit menentang kezaliman. Selain itu, sejarah juga pasti akan mencatatkan keberanian aktivis sebagai pejuang menegakkan hak kemanusiaan sejagat. Sekalung penghargaan dan syabas kepada semua aktivis Sumud Frotilla Malaysia dan antarabangsa! –UTUSAN

IBRAHIM AHMAD
Pensyarah Kanan, Unit Pengajian Umum,
Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak, Ipoh

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×