GEORGE TOWN: Program Prihatin Penglihatan Anak-Anak Pulau Pinang yang dijalankan sejak awal tahun ini telah memberi manfaat kepada seramai 6,575 murid di seluruh negeri ini menerusi pemeriksaan mata dan pemberian cermin mata secara percuma.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, pada masa yang sama, program yang dilaksanakan dengan kerjasama De Human Eyes Optometrist itu juga telah berjaya dimanfaatkan oleh seramai 270 warga sekolah yang lain setakat ini.
“Daripada jumlah murid yang menerima bantuan ini pula, seramai 1,350 daripada mereka menerima cermin mata percuma kerana mengalami masalah penglihatan yang teruk.
“Langkah ini walaupun nampak kecil, tetapi kesannya besar. Bila anak-anak kita boleh melihat dengan jelas, maka, mereka juga boleh belajar dengan lebih yakin dan bersemangat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Prihatin Penglihatan Anak-Anak Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh Pengurus De Human Eyes Optometrist, Melbans Ooi Joo Liang di Sekolah Kebangsaan (SK) Bayan Baru di sini, hari ini.
Menurut Siew Khim, sehingga kini, sebanyak 15 buah sekolah di seluruh Pulau Pinang telah terlibat dalam pelaksanaan program berkenaan dan ia akan diteruskan ke lebih banyak sekolah pada tahun depan.
“Program ini akan berterusan kerana masih banyak sekolah yang ingin turut serta. Matlamat kita adalah memastikan bahawa setiap anak-anak Pulau Pinang mendapat akses kepada pemeriksaan penglihatan dan bantuan yang sewajarnya,” jelas beliau.
Siew Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang berkata, inisiatif itu juga amat bermakna terutama kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang sukar menanggung kos cermin mata bagi anak-anak mereka..-UTUSAN










