LONDON: Pemain tengah England, Jordan Henderson mengakui berdepan detik sukar selepas meninggalkan Liverpool untuk menyertai Al-Ettifaq di Arab Saudi.
Bekas kapten Liverpool itu menceritakan secara terbuka mengenai perjuangannya menyesuaikan diri selepas meninggalkan kelab yang disertainya selama 12 tahun.
Henderson mengakui, selepas meninggalkan karier gemilang di Anfield, dia tidak sanggup menonton bekas pasukannya itu beraksi walaupun di kaca televisyen.
Namun, penyokong The Reds tidak bersimpati dengannya selepas dia menerima tawaran lumayan bernilai 350,000 pound (kira-kira RM2.1 juta) seminggu untuk berhijrah ke Arab Saudi.
Menyedari perpindahan itu satu kesilapan, Henderson kemudian berpindah ke Ajax sebelum kembali semula ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Brentford pada musim panas lalu.
“Ia tempoh yang sangat sukar bagi saya. Saya berada di Liverpool selama 12 tahun, ia sebahagian besar hidup saya. Apabila saya meninggalkan kelab itu, semuanya hilang sekelip mata, dan saya memang bergelut untuk menyesuaikan diri.
“Saya tak boleh tengok banyak perlawanan, terutama perlawanan Liverpool. Saya berada jauh di sana (Arab Saudi), jadi mungkin itu tempat yang sesuai untuk ‘menyembuhkan diri’. Ia terasa seperti perpisahan yang menyakitkan,” katanya.
Henderson turut mengakui, menyertai bekas rakan sepasukan Steven Gerrard di Al-Ettifaq adalah langkah yang salah dan dia sepatutnya memilih laluan berbeza seperti ke Serie A di Itali, atau terus ke Ajax sejak awal.
Ketika ini Henderson kembali menemui sentuhannya bersama Brentford dan mendapat panggilan skuad England kendalian Thomas Tuchel untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Wales, awal pagi esok. – AGENSI/UTUSAN










