PASIR SALAK: Litar perlumbaan motocross Labu Kubong, Sungai Manik di sini yang pernah menganjurkan perlumbaan bertaraf antarabangsa kini dalam keadaan terbiar.
Yang Dipertua Kelab Motocross Labu Kubong, Zainal Abidin Saini berkata, litar perlumbaan itu tidak digunakan sejak wabak Covid-19 melanda dan kini keadaannya kini bersemak samun akibat lama terbiar.
Menurutnya, keadaan itu merugikan buat peminat sukan lasak motocross yang kini tiada litar untuk mengadakan kejohanan atau perlumbaan.
“Litar motocross Labu Kubong ini adalah litar motocross kedua di negara ini selain di Kemaman, Terengganu.
‘Sejak tahun 2017, beberapa kejohanan bertaraf antarabangsa pernah diadakan di sini dan berjaya menarik pelumba handalan antarabangsa.
“Namun sejak PKP, litar ini tidak lagi digunakan untuk sebarang kejohanan menyebabkan keadaannya dinaiki semak samun. Kami peminat sukan lumba motocross tidak mempunyai litar yang sesuai untuk mengadakan perlumbaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, kelab itu berharap litar tersebut dibangunkan semula supaya sukan motocross kembali dipertandingkan di situ.
Katanya, Labu Kubong berpotensi untuk menjadi lokasi tumpuan sukan lasak motocross jika litar berkenaan dibangunkan semula.
“Kelab memang mahu melihat litar ini dibangunkan semula dan berharap ada pihak yang memberikan perhatian terhadap litar ini. Kami mahu melihat sukan motocross kembali hidup di sini,” katanya.
Menurutnya, ketika ini sukan motocross semakin berkembang danramai peminat yang menyertai sukan lasak itu.
“Jika litar ini dibangunkan semula, banyak kejohanan bertaraf antarabangsa boleh dianjurkan di sini. Jika Ini memberi peluang kepada bakat baharu dan peminat sukan ini mengembangkan kebolehan mereka,” katanya.-UTUSAN.










