KECANGGIHAN teknologi kecerdasan buatan (AI) mengubah cara manusia berkomunikasi. Aplikasi terjemahan segera yang mampu menterjemah perbualan dalam masa nyata semakin meluas digunakan, bukan sahaja dalam bidang pelancongan tetapi juga pendidikan, diplomasi dan perniagaan global.
Namun, timbul persoalan yang semakin relevan, adakah pembelajaran bahasa asing masih diperlukan pada era teknologi AI begitu dominan?
Jawapannya, ya. Walaupun alat terjemahan pintar semakin canggih, penguasaan bahasa asing tetap penting. Bahasa bukan sekadar medium komunikasi tetapi juga alat untuk membina kepercayaan, menghayati budaya dan meningkatkan daya saing dalam kerjaya. Bahasa merupakan jambatan yang membuka pintu hubungan yang lebih bermakna antara manusia.
Aplikasi terjemahan berasaskan AI memang mampu memberi jawapan pantas, namun ia masih jauh daripada sempurna. Banyak maksud tersirat, emosi dan nuansa budaya gagal diterjemahkan dengan tepat.
Tambahan pula, AI sukar menilai konteks sosial dan emosi sesuatu percakapan. Nada sindiran, gurauan halus atau perubahan emosi spontan lebih mudah ditangkap oleh penutur asli berbanding mesin. Dalam komunikasi yang melibatkan perasaan, kepercayaan dan empati, naluri manusia lebih memberi kesan.
Komunikasi bukan hanya soal menyampaikan maklumat tetapi juga membina hubungan. Seseorang yang mampu bertutur dalam bahasa asing akan dianggap lebih menghormati dan menghargai mereka. Hal ini sekali gus menimbulkan keselesaan, keterbukaan dan rasa kebersamaan.
Sebagai contoh, dalam acara budaya atau seminar antarabangsa, penggunaan bahasa peserta secara langsung meningkatkan interaksi. Jenaka, gurauan budaya dan perbualan santai lebih mudah difahami apabila penguasaan bahasa itu wujud, berbanding terjemahan AI yang sering kaku.
Situasi tertentu juga membuktikan kepentingan kemahiran bahasa. Bayangkan seorang pelancong yang terlibat dalam kecemasan di luar negara tetapi peranti AI gagal berfungsi kerana tiada capaian internet. Keupayaan berbahasa asing secara langsung boleh menjadi penyelamat. Begitu juga dalam suasana sosial seperti makan malam bersama rakan antarabangsa, keupayaan berbual dalam bahasa mereka menunjukkan rasa hormat yang mendalam serta meninggalkan kesan positif.
Dari sudut kerjaya, belajar bahasa asing membuka peluang pekerjaan yang lebih luas. Syarikat multinasional sentiasa mencari pekerja yang mampu berinteraksi dengan pelbagai pihak tanpa bergantung sepenuhnya pada mesin.
Kemahiran berbahasa asing melatih otak menjadi lebih tajam, meningkatkan daya ingatan serta menyumbang kepada keupayaan menyelesaikan masalah. Kajian juga menunjukkan individu dwibahasa atau multibahasa cenderung mempunyai kecerdasan kognitif yang lebih tinggi.
Majikan amat menghargai pekerja yang boleh berkomunikasi secara langsung terutama dalam bidang diplomasi, perhubungan awam dan pengurusan antarabangsa.
Bahasa adalah kunci untuk memahami budaya. AI mungkin mampu menterjemah ayat tetapi ia gagal menilai kesopanan berbahasa yang amat penting dalam budaya Asia. Dengan menguasai bahasa, kita dapat menghayati nilai, sejarah serta cara berfikir masyarakat lain, sekali gus membina dunia yang lebih harmoni dan inklusif.
AI wajar dilihat sebagai pelengkap, bukan pengganti. Ia sangat berguna sebagai alat bantu belajar, contohnya untuk menyemak tatabahasa atau memahami perkataan baharu. Namun, menguasai bahasa asing ibarat memiliki kaki sendiri, manakala AI hanyalah tongkat. Tongkat boleh membantu tetapi tidak pernah menggantikan fungsi kaki sepenuhnya.
Kesimpulannya, meskipun AI berkembang pesat, kemampuan berbahasa asing tetap relevan dan kritikal. Bahasa ialah kunci memahami budaya, membina hubungan antarabangsa serta menjadi nilai tambah dalam dunia kerjaya.
Dalam dunia global yang semakin kompleks, mereka yang menguasai bahasa asing akan sentiasa berada selangkah di hadapan, bukan sahaja dari segi komunikasi tetapi juga dalam membina dunia yang lebih memahami, inklusif dan saling menghormati.-UTUSAN
MUHAMAD RADI AHMAD
Guru Bahasa, Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










