Pelan damai Gaza hanya 'alat' untuk Trump raih Hadiah Nobel?

Pelan damai Gaza hanya ‘alat’ untuk Trump raih Hadiah Nobel?

RUNDINGAN damai Gaza antara Hamas dan Israel dijangka rumit. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kembali ke pentas diplomasi global dengan misi besar, kononnya untuk menamatkan perang dua tahun antara Israel dan Hamas di Gaza.

Trump sebelum ini mengemukakan pelan 20 perkara yang bertujuan menamatkan pertempuran di Gaza, membebaskan baki tebusan dan menentukan masa depan wilayah tersebut.

Israel dan Hamas bersetuju dengan sebahagian daripada pelan berkenaan.

Hamas menerima cadangan pembebasan tebusan serta beberapa elemen lain, namun mengelak daripada menyentuh isu sensitif termasuk tuntutan melucutkan senjata.

Trump menyambut baik maklum balas Hamas dan menyatakan keyakinan kumpulan pejuang tersebut menunjukkan kesediaan untuk mencapai keamanan berkekalan.

Beliau turut menggesa Israel menghentikan serangan terhadap Gaza serta-merta, namun rejim masih terus membedil wilayah berkenaan dan menambahkan angka korban baharu.

Trump mendakwa rundingan ‘sangat positif’ berlangsung antara Hamas serta perantara Arab dan Islam, dengan matlamat membebaskan tebusan, termasuk kononnya menghentikan pertempuran di Gaza.

Namun, di sebalik kenyataan optimistik itu, serangan Israel terhadap Gaza tidak menunjukkan tanda-tanda reda.

Bahkan, ia turut bertentangan dengan kenyataan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang menegaskan perang di Gaza masih belum berakhir walaupun kedua-dua pihak bersetuju terhadap beberapa bahagian pelan tersebut.

Susulan itu, persoalan yang lebih besar kini muncul, adakah beliau benar-benar mengejar keamanan atau sekadar mengumpul satu lagi ‘trofi politik’ untuk disematkan dalam rekod pencapaiannya?

Sikap Trump yang tergesa-gesa ingin menyelesaikan rundingan tersebut juga seolah-olah ‘ada udang di sebalik batu’.

Pemerhati politik antarabangsa melihat usaha Trump bukan semata-mata demi keamanan, tetapi sebahagian daripada strategi untuk menampilkan dirinya sebagai ‘pendamai dunia’.

Beliau sebelum ini juga mendabik dada di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), mendakwa dirinya berjaya menamatkan tujuh peperangan yang lama berlarutan, sambil memperlekeh badan tersebut konon hanya mampu mengeluarkan surat kecaman tanpa tindakan.

Trump secara terbuka menyuarakan rasa tidak puas hati kerana belum dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan, dengan menyifatkan ketiadaan pengiktirafan itu sebagai ‘penghinaan terhadap AS’.

Dalam konteks ini, tindakan Trump memposisikan dirinya sebagai watak utama dalam rundingan Gaza bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Ia sejajar dengan usahanya untuk mengembalikan imej global AS sebagai kuasa penentu keamanan dunia, namun dengan gaya populis dan dramatik yang sinonim dengan kepimpinannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×