PARLIMEN: Lindungi hak kanak-kanak mesti jadi keutamaan negara

PARLIMEN: Lindungi hak kanak-kanak mesti jadi keutamaan negara

JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha melindungi hak dan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini perlu dijadikan keutamaan nasional yang melangkaui sempadan politik dan agenda lain.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, tanggungjawab berkenaan bukan sekadar tuntutan undang-undang, sebaliknya merupakan janji moral yang mencerminkan martabat dan nilai kemanusiaan sesebuah negara.

“Hak kanak-kanak terhadap keselamatan, pendidikan, pemakanan dan perlindungan tidak boleh dipisahkan mengikut garis politik sama ada daripada kerajaan atau pembangkang.

“Tanggungjawab bagi semua adalah sama iaitu memastikan setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang selamat serta menyokong perkembangan mereka,” katanya ketika berucap pada Taklimat Parlimen mengenai Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) di Bangunan Parlimen hari ini.

Johari berkata, Malaysia kini memasuki tiga dekad pelaksanaan CRC sejak meratifikasinya pada 1995 dengan pelbagai pencapaian merangkumi bidang pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial.

Namun katanya, perjuangan melindungi hak kanak-kanak masih lagi jauh dan perlu diteruskan dengan semangat baharu menjelang sesi dialog Malaysia bersama Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2026.

“Konvensyen ini bukan sekadar dokumen yang ditandatangani pada 1995. Ia adalah komitmen berterusan yang menuntut kita menilai semula kemajuan serta jurang yang masih wujud agar tiada kanak-kanak tercicir dalam perjalanan kita menuju negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, Parlimen memainkan peranan penting dalam memastikan dasar serta peruntukan negara memberi keutamaan kepada kesejahteraan generasi muda.

Katanya, setiap undang-undang dan keputusan yang diluluskan di Dewan Rakyat mesti mengambil kira kesan langsung terhadap kehidupan kanak-kanak.

“Sebagai Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA), saya menyeru semua Parlimen di rantau ini memperkukuh penyertaan golongan muda sebagai rakan kongsi penting dalam agenda pembangunan dan perubahan.

“Malaysia juga kekal antara negara paling aktif memperjuangkan penyertaan wanita dan belia dalam bidang tadbir urus, ekonomi serta pembangunan serantau.

“Melalui inisiatif seperti Sekolah Parlimen, Parlimen Belia dan program jangkauan komuniti, kita membawa institusi Parlimen lebih dekat kepada rakyat. Kita mahu golongan muda belajar, bertanya dan berani memimpin kerana masa depan Parlimen adalah masa depan mereka juga,” katanya.

Tambah beliau, sesi taklimat CRC kali ini turut melibatkan penyertaan langsung suara kanak-kanak dan belia sekali gus menggambarkan pendekatan Parlimen yang semakin responsif terhadap pandangan generasi muda.

“Polisi terbaik lahir daripada pengalaman sebenar mereka yang melaluinya. Biarlah sesi ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama berterusan antara Parlimen, kerajaan dan kanak-kanak sendiri.

“Ukuran sebenar keagungan sesebuah negara ialah bagaimana ia melayan anak-anaknya. Parlimen ini mesti menjadi penanda aras dengan meletakkan hak kanak-kanak sebagai pusat segala tindakan kita dengan berpaksikan perpaduan, keberanian dan keyakinan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×