Banyak negara tunduk pada Israel, biarkan genosid di Gaza - Freedom Flotilla Coalition - Utusan Malaysia

Banyak negara tunduk pada Israel, biarkan genosid di Gaza – Freedom Flotilla Coalition

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Freedom Flotilla Coalition (FFC) mengecam sikap berdiam diri banyak negara dan kerajaan di dunia yang didakwa membiarkan Israel meneruskan tindakan yang dianggapnya sebagai “genosid” terhadap rakyat Palestin.

Pada masa sama, FFC mengutuk tindakan kerajaan yang menghalang warganegara mereka daripada berlayar secara sah ke Gaza dalam misi kemanusiaan.

Huwaida Arraf, Ahli Jawatankuasa Pemandu FFC, menyifatkan kegagalan beberapa kerajaan mempertahankan hak warganegara mereka sebagai satu pengkhianatan kepada prinsip kemanusiaan dan undang‑undang antarabangsa.

“Kami amat kesal apabila kerajaan‑kerajaan global terus berdiam diri, membiarkan Israel bukan sahaja meneruskan genosid terhadap rakyat Palestin tetapi juga menafikan hak warganegara mereka sendiri yang belayar secara sah dan aman di perairan antarabangsa.

“Kami menyeru semua kerajaan agar menegakkan undang‑undang antarabangsa dan melakukan perkara yang benar. Kegagalan ini bukan sahaja mengkhianati rakyat Palestin, tetapi turut mengorbankan keselamatan dan maruah warganegara mereka sendiri,” kata Huwaida dalam sidang media di atas kapal Conscience pagi tadi.

Kapal Conscience adalah kapal terbesar dan terbaru yang dilancarkan sebagai sebahagian misi kemanusiaan FFC menuju ke Gaza.

Ia membawa 92 aktivis awam termasuk wartawan dan petugas kesihatan dari pelbagai negara dan berlayar bersama lapan lagi kapal layar di bawah inisiatif Thousand Madleens to Gaza (TMTG), menjadikan jumlah keseluruhan sembilan kapal.

Huwaida menegaskan misi kali ini dikhususkan untuk petugas perubatan dan wartawan golongan yang menurutnya telah menjadi sasaran langsung dalam serangan berterusan Israel di Gaza.

“Mereka bukan sahaja diculik, diseksa dan dibunuh, tetapi diserang hanya kerana menjalankan tugas hakiki mereka,” katanya.

Beliau turut menyatakan solidariti terhadap kru dan aktivis kapal Global Sumud Flotilla (GSF) dan Handala, yang sebelum ini ditahan secara ganas oleh tentera Israel.

“Semangat kami bagi memperjuangkan hak asasi dan perjuangan sebenarnya lebih kuat berbanding kekuatan ketenteraan Israel dan sekutu‑sekutunya.

“Kami akan meneruskan usaha ini sebagai solidariti global serta menghantar isyarat yang lebih tegas kepada pimpinan dunia yang masih bersekongkol dengan Israel,” tegasnya.

Akhir sekali, Huwaida menegaskan misi flotila  akan diteruskan sehingga apa yang didakwanya sebagai “sekatan haram” Israel terhadap Gaza dipecahkan sepenuhnya.

Beliau menyeru sokongan masyarakat antarabangsa dan komuniti media global untuk tidak terus berdiam diri terhadap kekejaman yang berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×