DI beberapa negara maju, wujud budaya yang dikenali sebagai soft honk atau hon kecil. Ia merupakan hon ringkas, lembut dan sopan. Ia digunakan khusus untuk memberi peringatan tanpa menimbulkan rasa terkejut atau ancaman.
Bayangkan sebuah kereta yang menekan hon kecil apabila menghampiri penunggang motosikal di lorong bersebelahan. Isyarat itu cukup untuk menyedarkan penunggang tentang kewujudan kenderaan tanpa perlu mencetuskan panik atau reaksi mengejut yang boleh membawa bahaya.
Lebih daripada itu, hon kecil juga membantu mengurangkan ketegangan psikologi di jalan raya. Apabila pemandu menggunakan hon secara sopan, ia membentuk suasana lebih harmoni dan penuh toleransi. Penunggang tidak merasa diancam, manakala pemandu pula dapat menyampaikan mesej keselamatan dengan jelas.
Membina budaya baharu ini memerlukan pendekatan menyeluruh. Ini termasuk pemerkasaan pendidikan pemandu, kempen kesedaran awam, peranan pengeluar kenderaan dan penguatkuasaan tidak langsung.
Modul pendidikan pemandu, sama ada di institut memandu atau kursus pemanduan berhemah, perlu menekankan hon bukanlah alat kemarahan tetapi instrumen keselamatan. Konsep hon kecil boleh dimasukkan dalam latihan praktikal agar menjadi kebiasaan sejak awal.
Sudah tiba masanya mesej baharu diketengahkan iaitu gunakan hon dengan sopan. Iklan televisyen, papan iklan, media sosial dan kolaborasi dengan pengaruh media boleh memainkan peranan penting untuk menormalisasikan budaya ini.
Pengeluar kenderaan juga boleh menyumbang melalui inovasi teknologi.
Sebagai contoh, sesetengah negara memperkenalkan sistem hon adaptif, yang mana terdapat pilihan nada hon yang lebih lembut untuk kegunaan dalam situasi bukan kecemasan. Jika teknologi ini dibawa masuk, ia boleh mempercepat penerimaan budaya hon kecil di Malaysia.
Walaupun sukar untuk menguatkuasakan cara penggunaan hon, pihak berkuasa boleh memberi penekanan dalam bentuk garis panduan dan kod etika jalan raya yang menekankan penggunaan hon secara berhemah.
Sekiranya budaya ini berjaya dipupuk, kita dapat bayangkan sebuah ekosistem jalan raya lebih harmoni. Penunggang motosikal berasa lebih selamat, pemandu kereta lebih tenang dan konflik emosi di jalan raya dapat dikurangkan. Lebih penting lagi, penggunaan hon kecil boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan akibat salah faham atau tindak balas panik.
Dengan memperkenalkan budaya hon kecil, kita boleh menunjukkan kepada dunia yang perubahan tingkah laku kecil juga mampu membawa impak besar. Ia adalah simbol kepedulian. Anggaplah setiap bunyi hon bukan lagi tanda kemarahan tetapi keprihatinan.
Keselamatan jalan raya bukan hanya bergantung pada undang-undang, peralatan keselamatan atau teknologi moden. Ia juga berakar pada sikap, budaya dan nilai yang kita praktikkan setiap hari. Membudayakan penggunaan hon kecil mungkin kelihatan seakan-akan perkara kecil, namun kesannya boleh menyelamatkan nyawa.
Marilah kita bersama-sama menukar perspektif tentang hon di jalan raya, daripada alat yang menimbulkan ketegangan kepada simbol empati dan tanggungjawab. Dengan setiap hon kecil, kita bukan sahaja menyelamatkan diri sendiri tetapi juga membantu mewujudkan budaya pemanduan yang lebih selamat dan beradab di Malaysia.-UTUSAN
DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR & DR. ABDUL KHABIR RAHMAT
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Kampus Shah Alam











