KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka akan menumpukan pengurusan fiskal berhemat, penjanaan hasil negara yang mampan, serta langkah menyokong industri terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi global, termasuk tarif Amerika Syarikat (AS) dalam Belanjawan 2026, Jumaat ini.
Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Apurva Sanghi berkata, kerajaan perlu mencari keseimbangan antara kesinambungan fiskal dan keperluan merangsang ekonomi, khususnya dalam konteks pertumbuhan yang perlahan serta tekanan hutang negara yang semakin meningkat.
Ujarnya, Malaysia kini mencatatkan penurunan hasil kerajaan antara yang paling ketara di dunia sejak 2012.
“Walaupun kerajaan sebelum ini berjaya memperluas asas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan memperketat pematuhan cukai, langkah itu kini semakin berdepan pulangan yang semakin mengecil.
“Daripada pelbagai laporan, tidak ada perbincangan untuk memperkenalkan cukai baharu, justeru, kita tunggu dan lihat apa yang berlaku pada 10 Oktober nanti,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Kemas kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAP) dan Bahagian Satu Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) Oktober 2025 di sini semalam.
Apurva berkata, langkah meringankan kesan tarif perdagangan dari AS, khususnya terhadap sektor perabot dan semikonduktor juga antara tekanan jangka pendek yang akan diberi perhatian dalam belanjawan kali ini.
Katanya, situasi sangat berubah-ubah dan sukar untuk dijangka seperti pada minggu lalu apabila tarif diumumkan ke atas produk perabot, yang tentunya memberi kesan kepada pengeluar tempatan sekiranya dilaksanakan.
“Malaysia bergantung besar kepada sektor semikonduktor, tetapi terdapat kelemahan struktur seperti kekurangan inovasi tempatan dan ketidakmampuan untuk naik ke rantaian nilai yang lebih tinggi, terutama dalam cip Kecerdasan Buatan (AI),” katanya.
Jelas Sanghi, rasionalisasi subsidi akan diteruskan secara berhati-hati contohnya subsidi RON95, diesel dan elektrik.
“Pengurangan perbelanjaan operasi (OE) tanpa menjejaskan sektor utama seperti pendidikan dan kesihatan serta penambahbaikan kepada rangka kerja insentif pelaburan juga dijangka diumumkan,” katanya.
Apurva menjangka kerajaan akan memperincikan kerangka insentif pelaburan baharu, termasuk hala tuju pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) yang bakal menjadi panduan penting kepada pelabur.
“Langkah ini penting bukan saja untuk menarik pelaburan baharu, tetapi juga untuk memberi kejelasan kepada industri tempatan yang terkesan akibat dasar tarif global.
“Namun, keadaan global masih ‘amat tidak menentu’ dan sebarang perubahan dalam hubungan perdagangan antara Malaysia dan AS boleh berlaku bila-bila masa,” katanya. – UTUSAN










