PETALING JAYA: Proton menyumbang RM100,000 sebagai rakan kereta rasmi dan penaja utama bagi kategori 10 kilometer (KM) untuk Aspen-Klippa Penang Bridge International Marathon 2025 (PBIM 2025) yang dijadual berlangsung pada penghujung tahun ini.
Proton turut menaja sebuah Proton S70 baharu sebagai hadiah cabutan bertuah dan barisan kenderaan e.MAS akan berfungsi sebagai kereta pendahulu rasmi sepanjang maraton tersebut.
Timbalan Pengarah dan Ketua Jualan Proton, Ong Chee Wooi berkata, Proton berbesar hati untuk bekerjasama dengan Aspen-Klippa PBIM 2025 sebagai rakan kereta rasmi dan penaja utama bagi larian 10KM.
“Sumbangan sebanyak RM100,000 serta tajaan Proton S70 sebagai hadiah utama mencerminkan keyakinan kami terhadap jangkauan dan impak acara ini.
“Proton percaya PBIM merupakan platform yang bernilai untuk menjalin hubungan dengan komuniti dan memperkukuh kerjasama jenama di kawasan pesat membangun seperti Batu Kawan,” katanya dalam kenyataan.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjangkakan rekod baharu dengan lebih 25,000 peserta.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, PBIM kini menjadi acara ikonik yang bukan sahaja menyerlahkan kemampuan Pulau Pinang dalam menganjurkan aktiviti pelancongan sukan bertaraf dunia.
“Ia turut memberi impak yang ketara terhadap ekonomi di Seberang Perai, khususnya di Batu Kawan.
“Aspen-Klippa banyak menyumbang kepada kejayaan sebelum ini dan dengan penyertaan Proton tahun ini, kita melihat kerjasama kukuh antara kerajaan negeri dan sektor swasta dalam memperkukuh acara berprestij seperti ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi PBIM 2025 dan EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, sokongan berterusan Aspen-Kiippa serta penyertaan Proton tahun ini akan meningkatkan lagi daya tarikan acara ini dan memberi pengalaman lebih baik kepada pelari.
“Dengan lebih 20,000 peserta telah berdaftar dan pendaftaran akan ditutup pada 15 Oktober, PBIM 2025 bakal mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi utama pelancongan sukan,” ujarnya.
Maraton itu akan berlangsung pada 14 Disember 2025 dan telah merekodkan lebih 20,000 peserta berdaftar bagi kategori maraton penuh, separuh marathon dan 10KM.
Pendaftaran akan ditutup pada tengah malam 15 Oktober 2025, memberi peluang terakhir kepada pelari untuk mengesahkan penyertaan mereka. – UTUSAN










