SEREMBAN: Kerajaan perlu memberi perhatian kepada pembangunan menyeluruh industri tenusu negara, khususnya dalam memperkasa rantaian bekalan dari peringkat huluan hingga hiliran dalam Belanjawan 2026.
Pengarah Hal Ehwal Korporat Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI), Ezmir Hazizi Azhar berkata, antara keutamaan adalah usaha meningkatkan daya saing pengeluaran susu segar tempatan melalui bantuan bersasar dan infrastruktur yang lebih baik kepada penternak.
Ujarnya, ini kerana permintaan terhadap susu segar domestik semakin meningkat seiring dengan kesedaran pengguna terhadap pemakanan sihat, namun kebergantungan kepada produk tenusu import masih tinggi.
“Dalam hal ini, DLMI melihat Belanjawan 2026 sebagai platform penting untuk memacu transformasi industri tenusu nasional ke arah kemandirian makanan dan pertumbuhan ekonomi.
“Kami menyokong usaha kerajaan untuk memperkukuh ekosistem penternakan lembu tenusu tempatan sebagai langkah penting untuk menjamin bekalan susu yang mampan dan berkualiti tinggi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kilang DLMI, Bandar Enstek semalam.
Jelasnya, cadangan lain yang dikemukakan termasuk insentif kepada penternak, kemudahan pinjaman mikro, pembinaan jalan akses ke ladang, serta kestabilan utiliti seperti bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar.
“Kami juga menekankan pentingnya kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta dalam memperkukuh keseluruhan rantaian nilai daripada ladang ke kilang dan seterusnya ke pengguna.
“Sokongan kerajaan dalam bentuk dasar yang kondusif dan insentif strategik akan membantu melonjakkan industri tenusu tempatan ke tahap yang lebih berdaya saing di peringkat serantau,” katanya.
Selain sektor huluan, DLMI turut menyeru agar kerajaan meneruskan dasar kesihatan awam yang menyokong pembangunan produk tenusu lebih sihat.
“Ini termasuk insentif bagi produk yang memenuhi kriteria ‘Pilihan Lebih Sihat’ dan layak menerima logo merah seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sekiranya wujud insentif untuk produk berlogo ‘Pilihan Lebih Sihat’, rakyat akan lebih mudah mengakses pilihan lebih sihat, manakala syarikat seperti kami pula terdorong untuk melabur lebih banyak dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), sekali gus menghasilkan produk yang bukan sahaja enak, tetapi juga diperkaya dengan nutrien penting seperti kalsium dan vitamin.
“DLMI turut menggesa agar insentif ini terus diselaras dengan dasar cukai minuman bergula (SSB) yang diperkenalkan sebelum ini,” katanya.
Ezmir berkata, produk tenusu, khususnya susu segar dan UHT rendah gula atau tanpa gula, seharusnya terus diberi pengecualian bawah cukai SSB agar tidak menjejaskan akses pengguna terhadap produk tenusu dengan pengiktirafan pilihan yang lebih sihat.
“Kami percaya pendekatan holistik yang menyokong industri daripada ladang hingga ke rak pasar raya akan memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dalam meningkatkan pengambilan nutrisi yang seimbang di kalangan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN










