Pelan damai Gaza: Rundingan atau paksaan?

Pelan damai Gaza: Rundingan atau paksaan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Delegasi Hamas dan Israel memulakan rundingan tidak langsung di Mesir bagi menamatkan perang hampir dua tahun di Gaza, dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa kumpulan pejuang Palestin itu bersedia berkompromi bagi mencapai perjanjian damai.

Saluran Al-Qahera News yang dikaitkan dengan perisikan Mesir melaporkan pusingan pertama rundingan berakhir dalam suasana positif dan akan disambung pada Selasa.

Rundingan itu berlangsung secara tertutup dengan kawalan keselamatan ketat, hanya beberapa minggu selepas Israel cuba membunuh ketua perunding Hamas dalam satu serangan di Qatar.

Menurut saluran tersebut, kedua-dua delegasi kini membincangkan persediaan awal bagi pembebasan tahanan dan banduan.

“Perantara Mesir dan Qatar bekerjasama dengan kedua-dua pihak untuk mewujudkan mekanisme bagi pertukaran tebusan yang ditahan di Gaza dengan tahanan Palestin di penjara Israel,” lapor saluran itu.

Trump memberitahu pemberita di Rumah Putih beliau amat yakin perjanjian damai boleh dicapai.

“Saya fikir Hamas bersetuju dengan beberapa perkara penting. Saya percaya kita akan ada perjanjian,” katanya.

Menurut sumber keselamatan Mesir, Ketua perunding Hamas, Khalil al-Hayya yang terselamat daripada serangan Israel terhadap kepimpinan pergerakan Islam itu di Doha bulan lalu dilaporkan bertemu pegawai perisikan Mesir sebelum rundingan bermula.

RUNDINGAN MENCABAR

Pusingan rundingan kali ini yang dilancarkan menjelang ulang tahun kedua serangan Hamas mungkin akan berlarutan selama beberapa hari lagi.

“Kami menjangkakan rundingan ini akan menjadi sukar dan rumit, melihatkan matlamat rejim pendudukan Israel untuk meneruskan perang pemusnahan mereka,” kata sumber kepimpinan Hamas.

Trump yang menghantar utusannya, Steve Witkoff serta menantunya, Jared Kushner ke Mesir, menggesa perunding bergerak pantas untuk menamatkan perang di Gaza yang masih diserang Israel pada Isnin.

Menurut jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara terbaharu Israel.

Rakaman AFP menunjukkan letupan di beberapa kawasan di Gaza, dengan kepulan asap tebal menjulang ke langit, walaupun Setiausaha Negara AS, Marco Rubio sebelum ini menegaskan Israel mesti menghentikan pengeboman.

Hamas dan Israel dilaporkan memberi maklum balas positif terhadap pelan Trump, namun usaha untuk mencapai persetujuan terperinci dijangka sangat mencabar.

Pelan itu menggariskan proses perlucutan senjata Hamas yang dijangka sukar diterima kumpulan berkenaan.

Pelan itu turut memperuntukkan pengunduran berperingkat pasukan tentera Israel dari Gaza, namun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar akan menempatkan semula tenteranya jauh di dalam wilayah itu sambil memastikan pembebasan tebusan berjaya.

Menurut sumber Palestin, pertukaran awal tebusan dan banduan dijangka mengambil beberapa hari, bergantung kepada keadaan di lapangan yang melibatkan penarikan tentera Israel, penghentian pengeboman serta penggantungan semua operasi udara.

“Rundingan itu turut dijangka menentukan tarikh gencatan senjata sementara selain menyiapkan pelaksanaan fasa pertama pelan berkenaan, di mana 47 tebusan yang masih ditahan di Gaza akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan ratusan tahanan Palestin,” kata seorang pegawai Hamas.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) berkata, pihaknya bersedia membantu proses pertukaran tebusan dan banduan serta memudahkan kemasukan bantuan ke seluruh Gaza yang kini diisytiharkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang mengalami kebuluran.

“Perang ini memusnahkan segala yang saya bina sepanjang hidup saya. Kami sudah cukup lelah berlari dari maut selama dua tahun ini,” kata Mohammed Abu Sultan, 49, yang melarikan diri bersama 20 ahli keluarganya dari Gaza City ke kem Nuseirat di tengah Gaza.

HENTI OPERASI TENTERA

Sumber Palestin yang dekat dengan Hamas berkata, pergerakan itu akan menghentikan operasi ketenteraannya serentak dengan penghentian pengeboman Israel dan pengunduran tentera dari Gaza City.

Bagaimanapun, Ketua Turus Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir memberi amaran jika rundingan gagal, tentera rejim akan kembali berperang di Gaza.

Hamas menawan 251 tebusan ketika serangan mereka pada 7 Oktober 2023 dan 47 daripadanya masih berada di Gaza sementara tentera Israel mendakwa 25 orang sudah meninggal dunia.

Mengikut pelan Trump, sebagai balasan kepada pembebasan tebusan itu, Israel dijangka membebaskan 250 banduan Palestin yang menjalani hukuman penjara seumur hidup serta lebih 1,700 tahanan dari Gaza yang ditahan sejak perang bermula.

Hamas bertegas ia harus diberi suara dalam menentukan masa depan Gaza, walaupun pelan Trump menetapkan kumpulan itu dan paksinya yang lain tidak akan memainkan sebarang peranan dalam pentadbiran Gaza.

Di bawah cadangan tersebut, pentadbiran wilayah itu akan diuruskan oleh sebuah badan teknokratik di bawah pengawasan pihak berkuasa peralihan yang diketuai sendiri oleh Trump.

“Kami berharap Trump akan menekan Netanyahu dan memaksanya menghentikan perang. Kami mahu pertukaran tahanan diselesaikan segera agar Israel tiada alasan untuk meneruskan peperangan,” kata seorang penduduk, Ahmad Barbakh dari kawasan Al-Mawasi.

Menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel, serangan Hamas pada Oktober 2023 mengorbankan 1,219 orang, kebanyakannya orang awam.

Laporan Kementerian Kesihatan di wilayah yang ditadbir Hamas dan disahkan boleh dipercayai oleh PBB pula mendedahkan serangan balas Israel yang berlarutan selama dua tahun sudah meragut sekurang-kurangnya 67,160 nya­wa rakyat Palestin, majoritinya kanak-kanak dan golongan wanita.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×