Covid-19: Mati di rumah meningkat - Utusan Malaysia

Covid-19: Mati di rumah meningkat

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan kes ke­ma­tian di rumah atau brought in dead (BID) akibat jangkitan Covid-19 kian menggerunkan apa­bila mula menunjukkan pe­ningkatan dengan 106 daripada jumlah keseluruhan 386 kes BID direkodkan pada bulan ini sahaja.

Ada sesetengah kes didapati pe­sakit enggan mendapatkan ra­watan di hospital biarpun sudah disahkan positif dijangkiti virus berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kes kematian BID yang mempunyai penyakit atau komorbiditi melibatkan 258 kes (67 peratus), tidak mempunyai penyakit 96 kes (25 peratus) dan 32 kes tiada maklumat (lapan peratus).

Beliau berkata, bagi kes kematian BID yang tidak mempu­nyai sejarah penyakit, 63 kes iaitu majoriti merupakan bukan warganegara Malaysia dan selebih­nya 33 kes adalah warganega­ra.

“Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan mereka yang mempunyai gejala atau kontak rapat kepada kes positif Covid-19 membuat pemeriksaan, pantau gejala se­tiap hari dengan menggunakan Health Assesment Tool (HAT) yang terdapat dalam MySejah­tera.

“Mereka yang dikenal pasti positif Covid-19, tetapi tidak bergejala (Kategori 1) atau mempunyai gejala ringan dan stabil (Kategori 2), mereka ini dipantau oleh anggota kesihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) selain pemantauan kendiri me­lalui HAT dalam MySejahtera.

“Mereka yang dipantau dan diasingkan di rumah ini perlu mematuhi nasihat yang diberikan pihak kesihatan. Sekiranya gejala semakin teruk, mereka dinasihatkan agar segera ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan,” katanya di sini semalam.

Menurut Dr. Adham, kes BID meliputi 14.5 peratus daripada keseluruhan 2,650 kematian akibat jangkitan Covid-19 direkodkan di Malaysia setakat kelmarin (29 Mei).

“Terdapat 19 daripada ke­seluruhan kematian BID melibatkan pesakit pemantauan kendiri di rumah yang berlaku pada bulan ini manakala selebihnya (367 kes) dikesan dijang­kiti Covid-19 setelah jenazah tiba di hospital,” katanya.

Beliau memberikan contoh kes BID yang berlaku di Kuantan, Pahang baru-baru ini apabila pesakit enggan dirawat di hospital selepas disahkan positif Covid-19 dan dalam tempoh 24 jam, pesakit itu meninggal dunia di rumah.

Jelasnya, kes melibatkan seorang lelaki berusia 80 tahun yang mempunyai sejarah kan­ser prostat, mula bergejala demam, sakit badan dan kurang selera makan seminggu sebe­lumnya (14 Mei lalu).

Kes dibawa ke sebuah klinik kesihatan apabila keadaannya semakin lemah (21 Mei) dan ujian RTK-Antigen di klinik tersebut didapati positif.

“Kes dirujuk ke hospital tetapi enggan ke hospital dan terus pulang ke rumah. Pesakit hadir semula ke tempat pemeriksaan keesokannya untuk menjalani ujian RT-PCR dan dirujuk ke hospital tetapi terus pulang ke rumah.

“Salah seorang ahli keluarga mendapati pesakit tidak sedarkan diri pada pukul 7 petang 22 Mei. Kes disahkan meninggal dunia pada pukul 7.20 petang hari sama oleh Penolong Pegawai Perubatan yang datang untuk mengambil menantu pesakit yang baru disahkan positif Covid-19,” katanya.

Dr. Adham berkata, sekiranya terdapat kes kematian di rumah, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran akan ditugaskan menyiasat kes kematian itu selepas polis mengesahkan tiada unsur jenayah.

Menurut beliau, sekiranya hasil siasatan PPKP mengesyaki kematian akibat Covid-19, PPKP akan mengeluarkan surat perintah kepada polis untuk membawa mayat tersebut ke hospital berhampiran dengan memakai alat perlin­dungan diri (PPE) lengkap dan pemeriksaan lanjut akan dilakukan pegawai di Jabatan Forensik, hospital berkaitan.

“Urusan disinfeksi rumah dilakukan pasukan PPKP. Pe­ngurusan jenazah seterusnya diuruskan di hospital. Setelah selesai urusan jenazah ini dan telah disolatkan akan dibawa terus ke tanah perkuburan untuk urusan pengebumian yang perlu disediakan pihak waris.

“Pengebumian dilakukan dengan penyeliaan daripada PPKP. Hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan hadir dengan memastikan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka,” katanya yang turut membe­ritahu SOP kematian di rumah boleh dirujuk di laman web Kementerian Kesihatan.

Dr. Adham berkata, jangkitan Covid-19 semakin berbahaya dan penularan virus SARS-Cov-2 dikategorikan sebagai in­halation of virus oleh Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (CDC) Atlanta, Amerika Syarikat dan disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata, virus ini boleh berada di udara dan boleh disedut atau melekat kepada membran mukosa orang lain yang berada di kawasan sama dan individu ini boleh mendapat jangkitan tanpa mengetahui siapa pembawanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×