Pengambilan pelajar perlu utamakan integriti sistem

Pengambilan pelajar perlu utamakan integriti sistem

SISTEM pengambilan pelajar ke universiti awam perlu menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGAMBILAN pelajar merupakan tanggungjawab besar yang dilaksanakan dengan iltizam tinggi, berlandaskan prinsip integriti, keadilan dan kepercayaan masyarakat.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed menyatakan institusi sentiasa komited memastikan setiap keputusan dalam pemilihan pelajar mencerminkan nilai-nilai ini, demi melahirkan generasi peneraju masa hadapan yang seimbang dari segi akademik, etika dan kepimpinan.

Pengambilan pelajar ke universiti awam adalah amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan prinsip integriti dan keadilan yang tidak boleh dikompromi.

Kebelakangan ini, naratif mengenai pelajar cemerlang gagal mendapat tempat di program pengajian pilihan mencetuskan pelbagai persepsi. Namun di sebalik kekecohan emosi, penting untuk masyarakat memahami proses pengambilan pelajar bukanlah sistem hitam-putih semata-mata sebaliknya proses multidimensi yang rumit, telus dan sentiasa ditambah baik.

Keseimbangan antara merit, kapasiti dan kesejagatan dasar universiti beroperasi dalam kerangka dasar yang lebih luas daripada sekadar memilih ‘yang terbaik di atas kertas’.

Kriteria akademik penting tetapi dalam program berintensiti tinggi seperti Perubatan, Undang-undang, Perakaunan atau Kejuruteraan, faktor kapasiti pengajaran, kelulusan badan profesional dan kemampuan logistik turut memainkan peranan kritikal.

Sebuah program pengajian tidak boleh sekadar menerima pelajar mengikut permintaan, sebaliknya bersedia memberikan pengalaman pembelajaran berkualiti dan memenuhi piawaian kebangsaan serta antarabangsa. Maka, memilih calon berdasarkan merit yang relevan dengan keperluan program adalah keperluan profesional, bukan diskriminasi.

Masyarakat perlu menerima kejayaan akademik tidak menjamin hak automatik ke institusi pilihan. Ini bukan kegagalan sistem tetapi realiti persaingan terbuka dalam ruang yang terhad.

Selain akademik, dasar kerajaan mengenai inklusiviti holistik termasuk latar belakang sosioekonomi, geografi dan etnik dilaksanakan demi menyeimbangkan jurang peluang yang masih wujud dalam masyarakat.

Setiap proses penilaian dan pemilihan melalui sistem UPU Online menjalani pelbagai lapisan semakan dalaman untuk meminimumkan ruang kekhilafan, berat sebelah atau manipulasi.

Tambahan pula, pelajar mempunyai saluran rayuan dan maklum balas yang terbuka. Dalam konteks ini, universiti bukan entiti kebal daripada pertanyaan tetapi institusi yang bersedia untuk menilai dan memperbaiki, selagi berteraskan fakta serta data, bukan emosi semata-mata.

Universiti tidak menafikan sistem sedia ada perlu terus disemak dan dikemas kini agar kekal relevan dalam persekitaran pendidikan yang berubah pantas. Inisiatif untuk menambah baik kriteria pemilihan, mengoptimumkan penggunaan data, dan memperluas bentuk pengiktirafan pencapaian pelajar sedang giat dilaksanakan.

Dalam konteks ini, sistem pengambilan pelajar ke universiti awam perlu menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan, bukan penghalang.

Kami memahami keresahan yang timbul apabila keputusan pengambilan tidak sejajar dengan jangkaan. Namun, universiti tidak boleh tunduk kepada tekanan naratif popular yang menuntut ‘keadilan mutlak’ untuk individu dengan mengorbankan keadilan kolektif untuk masyarakat.

Setiap pelajar adalah aset negara. Jika bukan di satu-satu program pengajian, masih ada ratusan laluan yang mampu membawa kepada kejayaan, jika dimanfaatkan dengan iltizam dan kesungguhan.

Yang perlu dipertahankan hari ini ialah integriti sistem, bukan populariti keputusan. Kerana di sinilah terletaknya kepercayaan jangka panjang rakyat terhadap universiti awam sebagai institusi yang mencorak masa hadapan negara.

AMYRULHAN AZHAR
Universiti Sains Malaysia (USM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×