ALOR SETAR: Sebanyak 18 lokasi berhampiran pantai dan muara sungai di lima daerah Kedah berdepan kemungkinan banjir ekoran fenomena air pasang besar bermula tengah malam ini hingga awal pagi Jumaat.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Bukhori Mat Sidik berkata, berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), fenomena itu diramal berlaku selama empat hari berturut-turut bermula pukul 12.45 tengah malam ini dengan ketinggian ombak 2.9 meter.
“Seterusnya pada Rabu (1.14 pagi), Khamis (1.45 pagi) dan Jumaat (2.18 pagi) dengan ketinggian ombak sehingga tiga meter
“Kawasan berisiko di Kota Setar antaranya Jeti Kuala Kedah, Jeti Nelayan Seberang Kota, Taman Sri Putra dan Taman Sri Pantai,” katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan banjir di kawasan perumahan di Jalan Makam Diraja Langgar, di sini hari ini.
Mohd. Bukhori berkata, bagi daerah Yan, tiga lokasi berisiko ialah Kampung Kuala Raga, Kampung Kuala Sala dan Kampung Kuala Sungai Yan Kechil manakala di Kubang Pasu, adalah Kampung Kuala Kerpan, muara Kampung Kuala Jerlun dan muara Kampung Kuala Sanglang.
“Tujuh lokasi berisiko di Kuala Muda pula ialah Kampung Kepala Tanjung, Kampung Bukit Kechik, Kampung Tukang Jusoh, Kampung Paya, Kampung Sungai Meriam, Kampung Sungai Yu dan Tanjung Dawai, manakala di daerah Langkawi hanya satu lokasi iaitu Kampung Bakau Kelibang,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, seramai 153 mangsa banjir dari daerah Pokok Sena dan Kota Setar masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Serbaguna Pokok Sena dan Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar.
“Buat masa ini, cuaca dalam keadaan baik dan trend air semakin menurun. Kita berharap cuaca kekal baik kerana jika berlaku hujan berterusan, boleh mengakibatkan pertembungan air sungai dengan air pasang besar,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, terdapat 119 lokasi hotspot banjir di negeri ini melibatkan Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu dan Pendang yang terletak di kawasan lembangan Sungai Kedah, manakala daerah Kuala Muda, Sik, Baling dan Kulim di lembangan Sungai Muda.
“Kira-kira 900 anggota APM bersama agensi berkaitan bersedia menghadapi kemungkinan bencana ini dan orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta melakukan persediaan lebih awal,” katanya.-UTUSAN











