Iran sokong gencatan senjata jika Zionis hentikan genosid di Palestin - Utusan Malaysia

Iran sokong gencatan senjata jika Zionis hentikan genosid di Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan gencatan senjata di Gaza dengan syarat ia benar-benar menghentikan genosid terhadap rakyat Palestin, serta membuka ruang kepada pemulihan semula wilayah itu dan kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa halangan.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Iran, Teheran menegaskan sebarang keputusan mengenai masa depan Gaza harus ditentukan oleh rakyat Palestin sendiri dan pejuang penentangan, bukannya dipaksakan oleh kuasa luar.

“Kami menyambut baik sebarang langkah yang mampu menghentikan pembunuhan beramai-ramai, menarik keluar tentera penjajah Zionis dari Gaza, menghormati hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin, membenarkan bantuan kemanusiaan masuk, dan memulihkan infrastruktur Gaza,” menurut kenyataan tersebut.

Iran juga memberi amaran keras Israel mungkin tidak akan mematuhi perjanjian gencatan senjata dan berpotensi meneruskan serangan secara unilateral, seperti yang berlaku dalam episod-episod terdahulu.

Dalam masa sama, Teheran menyeru komuniti antarabangsa agar tidak sekadar menjadi pemerhati. Negara-negara dunia digesa untuk mengambil langkah undang-undang terhadap jenayah perang dan genosid yang didakwa dilakukan Israel di Gaza dan Tebing Barat.

Iran turut menekankan kegagalan masyarakat antarabangsa untuk bertindak melanggar prinsip Konvensyen Genosid 1948, sekali gus mencemarkan kredibiliti institusi antarabangsa yang selama ini memperjuangkan hak asasi manusia.

Teheran juga menyelar kekebalan politik dan ketenteraan yang dinikmati Israel, yang menurutnya mendapat perlindungan penuh daripada Amerika Syarikat (AS), meskipun berulang kali dituduh melanggar undang-undang antarabangsa.

Iran menyifatkan penamatan kekebalan ini sebagai langkah pertama untuk mewujudkan keadilan sebenar dan memulihkan hak rakyat Palestin yang telah dinafikan selama beberapa dekad.

Kenyataan ini hadir ketika tekanan antarabangsa semakin meningkat untuk mewujudkan gencatan senjata kekal di Gaza, selepas jumlah kematian dan kemusnahan mencapai tahap yang digambarkan oleh banyak pihak sebagai “bencana kemanusiaan”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×