Tiada gencatan senjata, Israel hanya henti sementara serangan udara - Utusan Malaysia

Tiada gencatan senjata, Israel hanya henti sementara serangan udara

PENDUDUK Palestin melarikan diri ketika tentera Israel membedil sebuah bangunan di Gaza City. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Kerajaan Israel semalam menegaskan tiada gencatan senjata dilaksanakan di Semenanjung Gaza, sebaliknya hanya penghentian sementara terhadap beberapa serangan udara di kawasan tertentu.

Jurucakap kerajaan, Shosh Bedrosian berkata, tentera masih dibenarkan melancarkan operasi di Gaza atas alasan pertahanan diri.

Kenyataan itu dibuat selepas kumpulan Hamas pada Jumaat lalu bersetuju menerima beberapa bahagian utama pelan damai 20 perkara anjuran Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini mendapat sokongan Israel.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menegaskan perang di Gaza masih belum berakhir walaupun kedua-dua pihak telah bersetuju terhadap beberapa bahagian pelan tersebut.

“Kita akan tahu dalam masa terdekat sama ada Hamas benar-benar serius atau tidak berdasarkan perbincangan teknikal mengenai urusan logistik pembebasan tebusan,” katanya dalam temu bual program Meet the Press terbitan NBC News.

Rundingan dijangka berlangsung di Sharm El-Sheikh, Mesir, dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyatakan harapan agar semua tebusan di Gaza dapat dibebaskan dalam tempoh beberapa hari.

Netanyahu berkata, beliau telah mengarahkan perunding Israel ke Mesir untuk memuktamadkan butiran teknikal, manakala kerajaan Mesir turut mengesahkan kehadiran delegasi Hamas bagi membincangkan keadaan di lapangan serta pertukaran tahanan dan tebusan.

Media yang rapat dengan kerajaan Mesir melaporkan rundingan tidak langsung antara kedua-dua pihak akan diadakan pada Ahad dan Isnin, menjelang ulang tahun kedua serangan 7 Oktober yang mencetuskan perang Gaza.

Menurut Rumah Putih, Presiden Donald Trump telah menghantar dua utusannya ke Mesir iaitu menantunya, Jared Kushner serta Utusan Khas AS ke Asia Barat, Steve Witkoff bagi memantau perkembangan rundingan.

Sumber Palestin yang rapat dengan Hamas memaklumkan pergerakan itu menuntut Israel menghentikan semua operasi ketenteraan, termasuk serangan udara, penerbangan pengintip dan aktiviti dron di seluruh Gaza.

Mengikut pelan damai Trump, Israel dijangka membebaskan 250 tahanan Palestin yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup serta lebih 1,700 tahanan dari Gaza yang ditahan selepas 7 Oktober 2023. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×