PETALING JAYA: ‘Layanan mereka (tentera Israel) sangat menjijikkan, mereka tidak melayan kami sebagai seorang wanita bertudung, malah menafikan keadaan kami yang menutup aurat’.
Demikian perkongsian aktivis kemanusiaan, Iylia Balqis Suhaimi, 28, yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, semasa menjadi tawanan tentera Israel.
Iylia Balqis antara 23 sukarelawan warga Malaysia yang merasai pengalaman getir semasa ditahan oleh rejim Zionis itu.
Kongsinya, tentera Israel berasa jelik apabila melihat wanita Islam memakai tudung sehingga bertindak kejam merampas tudung yang dipakai tahanan.
Iylia Balqis turut mendedahkan pengalaman pahit apabila ada tahanan dikurung dalam sel yang kelihatan seperti sebuah sangkar di tengah-tengah cuaca panas, serta dinafikan akses air bersih dan ubat-ubatan.
“Tentera Israel tergamak cakap selagi dia belum mati, dia okey, selepas seorang tahanan wanita meminta ubat kerana berada dalam keadaan serius.
“Kami juga tiada pilihan lain selain terpaksa minum air bersih daripada tandas,” kongsinya memetik laporan antarabangsa, Al Jazeera.
Aktivis wanita itu selamat tiba di Istanbul, Türkiye, pada pukul 3.40 petang (waktu tempatan) selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel, semalam.
Semasa misi kemanusiaan itu, beliau menaiki Kapal Alma yang turut disertai oleh delegasi antarabangsa lain. – UTUSAN










