KUALA LUPUR: Impian lima penjawat awam memiliki rumah sendiri menjadi kenyataan menerusi Majlis Serah Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) yang berlangsung di Residensi Amansuri, dI sini kelmarin.
Seorang lagi pembeli, S. Kalaivanee, 41, meluahkan rasa gembira terhadap inisiatif PPAM yang menyediakan pelbagai kemudahan dan fasiliti bagi keselesaan penduduk.
“Sebelum ini, saya duduk dengan keluarga di sebuah pangsapuri sini. Tetapi kurang selesa dan jarak ke tempat kerja agak jauh.
“Tetapi rumah PPAM ini cukup lengkap dengan taman permainan, kolam renang, gimnasium dan lokasinya juga berdekatan dengan stesen LRT di sini,” katanya selepas Majlis Serah Kunci PPAM Residensi Amansuri yang disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Seorang penjawat awam, Vun Chuen Yung, 29, pula berkata, harga yang ditawarkan adalah munasabah mengambil kira bilangan tanggungannya serta kadar bayaran bulanan yang perlu ditanggung.
“Memandangkan ini rumah pertama saya, ia dikira sangat meringankan beban saya,” katanya yang sebelum ini dia menyewa bilik di Setapak dan menempuh pelbagai cabaran sepanjang tinggal di kawasan perumahan yang padat.
Namun, katanya, dengan lokasi strategik projek PPAM yang berdekatan dengan stesen Transit Aliran Ringan (LRT), dia kini lebih mudah ke tempat kerja tanpa perlu berdepan kesesakan lalu lintas.
Turut berkongsi kegembiraan, Muhammad Nor Aminuddin Zakaria, 30, yang beranggapan proses permohonan bagi memiliki rumah di bawah skim tersebut hanya mengambil masa kira-kira sebulan sebelum diluluskan.
“Saya harap agar inisiatif PPAM dapat diteruskan pada masa akan datang, termasuk diperluas ke kawasan luar bandar,” katanya. – UTUSAN









