PETALING JAYA: Kerajaan akan terus memperkukuhkan pelaksanaan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di seluruh negara sebagai langkah untuk meningkatkan kadar pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, PPAM ini membuktikan komitmen kerajaan MADANI dalam menjamin kesejahteraan rakyat seiring Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13.
Katanya, setakat 26 Ogos lalu, sebanyak 803 daripada 36,984 unit kediaman penjawat awam telah siap dibina menerusi inisiatif PPAM di seluruh negara melalui kerjasama strategik awam-swasta.
“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 94 peratus penerima manfaat program ini terdiri daripada penjawat awam yang berpendapatan di bawah RM6,000 sebulan,” katanya ketika merasmikan Majlis Serah Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Residensi Amansuri, dekat ini semalam.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Sementara itu, Pengarah Unit PPAM, Mohd. Izwan Nuzaihan Jamil berkata, seramai 688,663 daripada 1,300,680 orang penjawat awam yang berdaftar masih belum memiliki rumah sendiri.
Katanya sambil merujuk laporan oleh Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS), angka tersebut menjadikan sebanyak 52.95 peratus daripada 1.3 juta penjawat awam berdaftar.
“Melalui inisiatif PPAM, penjawat awam berpeluang memiliki rumah pada harga lebih rendah daripada pasaran iaitu RM275,000 bagi rumah berkeluasan 900 kaki persegi dan RM294,430 bagi rumah berkeluasan 966 kaki persegi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis tersebut. – UTUSAN










