Kedutaan AS akhirnya terima memorandum bantahan

Kedutaan AS akhirnya terima memorandum bantahan

WALAUPUN dalam keadaan hujan, orang ramai tetap berarak menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat ketika Himpunan Solidariti Sumud di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wakil kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia akhirnya bersedia menerima memorandum bantahan berhubung tindakan Israel terhadap aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) setelah enggan menerimanya kelmarin.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, hanya dua individu sahaja dibenarkan masuk ke kedutaan tersebut semalam.

Memorandum itu menuntut tiga perkara iaitu pembebasan segera semua sukarelawan yang menyertai misi GSF tanpa ada sebarang kecederaan atau tindakan.

AS juga digesa menggunakan pengaruhnya ke atas Israel supaya membenarkan kapal GSF yang membawa makanan, perubatan dan bantuan untuk sampai ke perairan Gaza.

Presiden AS, Donald Trump juga dituntut memastikan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak mengganggu proses perdamaian di Gaza.

Beliau berkata, wakil kedutaan AS menghubunginya untuk mengatakan serahan memorandum dilakukan sekitar pukul 3 petang.

“Hanya dua individu dibenarkan masuk termasuk Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Dr. Maszlee Malik.

“Selain itu mereka bersedia mendengar tuntutan kita dan akan menyerahkan memorandum daripada rakyat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Terdahulu, ribuan peserta Himpunan Sumud Flotilla ber­kumpul di Bangunan Tabung Haji sekitar pukul 2 petang sebelum berarak menuju Kedutaan AS.

Hujan lebat tidak melunturkan semangat peserta menyatakan solidariti buat penduduk Gaza.

Kamil berkata, pihaknya akan meneruskan himpunan bagi mendesak kerajaan AS menggunakan pengaruhnya ke atas Israel untuk menghentikan kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Gaza.

“Ini bukan kemenangan mutlak buat kita. Desakan dan tuntutan perlu diteruskan. Ini bukan pengakhiran, ini juga bukan permulaan, tetapi ini adalah perjuangan kita demi masa depan (rakyat Palestin),” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kedutaan AS enggan menghantar wakil untuk mengambil memorandum itu di atas alasan faktor keselamatan namun memberi jaminan memorandum tersebut akan diambil kemudian.

Memorandum itu antara lain menuntut pembebasan aktivis GSF yang ditahan Israel terma­suk menggesa AS menggunakan pengaruhnya untuk menghentikan kekejaman terhadap penduduk Palestin.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×