PETALING JAYA: Proses pembebasan rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Israel boleh dilakukan menerusi langkah segera dengan menandatangani dokumen ‘immediate departure form’ atau pengusiran segera.
Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd. Amin berkata, permintaan tersebut akan dilakukan terhadap barisan peguam The Legal Centre for Arab Minorities Right (ADALAH) yang berpangkalan di Israel bagi memastikan proses pembebasan rakyat Malaysia berjalan lancar.
Beliau berkata, ini juga bermakna mereka yang ditahan tidak melalui proses undang-undang yang panjang seperti perbicaraan atau semakan kehakiman.
“Proses yang biasa dan segera untuk peserta Malaysia menandatangani ‘immediate departure form’ dan itu adalah permintaan (kami) kepada peguam ADALAH.
“Undang-undang lain (habeas corpus sebagai contoh) juga wujud dalam sistem perundangan Israel tetapi mengambil masa. Namun, urusan bawa balik tahanan adalah melalui negara ketiga kerana Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel. Itu pilihan yang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, semua 15 rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel ketika menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
Katanya, pihak Wisma Putra akan memastikan mereka diberikan sokongan konsular dan bantuan sewajarnya bagi menjamin kepulangan selamat ke Malaysia.
Selain itu, kerajaan juga sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera peserta GSF.
Azril bersama empat peguam yang juga aktivis undang-undang hak asasi manusia dari Malaysia kini berada di Amman, Jordan bagi memastikan delegasi negara dalam misi GSF yang ditahan rejim Israel mendapat perlindungan undang-undang secara telus dan adil.
Dalam pada itu, Azril berkata, rakyat Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Israel secara prinsipnya mempunyai hak untuk mencabar penahanan mereka menerusi saluran undang-undang antarabangsa.
Katanya, antara saluran yang boleh diambil termasuk mengemukakan kes ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) serta membuat aduan rasmi kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva.
Malah katanya, isu ini perlu dibawa peringkat antarabangsa dengan kerjasama pelbagai pihak agar Israel dikenakan tindakan mengikut undang-undang antarabangsa.
“Ramai pakar perundangan antarabangsa memberikan pandangan tentang percanggahan tindakan Israel dengan undang-undang antarabangsa berkenaan maritim.
“Justeru, perlu mengheret Israel ke muka pengadilan atas tindakan yang mereka lakukan,” katanya. – UTUSAN










