PETALING JAYA: Solarvest Holdings Berhad (Solarvest) bersama rakan strategiknya, Press Metal Berhad, bakal membangunkan ladang solar berskala besar berkapasiti 100 megawatt (MWac) di Mukah, Sarawak menerusi syarikat tujuan khas (SPV) mereka, Mukah Solar Powerplant Sdn. Bhd. (MSPSB).
Menurut kenyataan, MSPSB menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Syarikat Sesco Berhad (SESCO), anak syarikat milik penuh Sarawak Energy Berhad, bagi pembangunan projek tersebut yang dijangka memulakan operasi komersial pada 30 November 2027.
“Projek itu memerlukan kos pelaburan dianggarkan sebanyak RM380 juta, yang sebahagian besarnya akan dibiayai melalui kemudahan bank, manakala bahagian ekuiti Solarvest akan dibiayai secara dalaman.
“MSPSB dimiliki oleh Solarvest Asset Management (Borneo) Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh tidak langsung Solarvest, dengan pegangan 60 peratus, manakala baki 40 peratus dimiliki oleh Press Metal Berhad, anak syarikat milik penuh tidak langsung Press Metal Aluminium Holdings Berhad,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Solarvest, Leon Liew Chee Ing berkata, projek berkenaan merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan tenaga boleh diperbaharui (RE) Sarawak.
“Ladang solar Mukah ini akan menjadi antara projek tenaga bersih terbesar di negeri itu dan dijangka mengurangkan sekitar 46,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun. Ia selaras dengan usaha Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.
“Projek tersebut sejajar dengan Strategi Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) serta Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, yang menyasarkan kapasiti terpasang 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan meningkat kepada 15GW pada 2035, dengan sekurang-kurangnya 60 peratus campuran tenaga datang daripada sumber boleh diperbaharui.
“Kami melihat projek ini bukan sahaja sebagai penjana tenaga, malah sebagai pemangkin untuk menjadikan Sarawak sebagai hab RE serantau, seiring aspirasi Malaysia mencapai sasaran sifar bersih,” katanya.
Beliau berkata, projek berkenaan juga akan mengukuhkan kedudukan Solarvest dalam pasaran jurutera, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di Sarawak.
“Dengan lebih banyak kemenangan projek LSS5 dan LSS5+, selain pengembangan di Borneo, kami menjangkakan buku pesanan EPCC meningkat ke paras baharu kira-kira RM3 bilion menjelang akhir tahun kewangan,” ujarnya.
Tambah beliau, pembinaan ladang solar Mukah dijangka mewujudkan antara 1,500 hingga 2,000 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung kepada penduduk tempatan, bukan sahaja pada fasa pembinaan tetapi juga operasi.
“Lebih penting lagi, projek ini memberi manfaat terus kepada komuniti luar bandar dengan memperkasakan mereka untuk memainkan peranan dalam peralihan tenaga bersih, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi mapan negeri,” tambahnya.
Dalam masa sama, Solarvest turut melaksanakan pelaburan tenaga bersih, kerjasama teknikal dan penciptaan peluang pekerjaan bagi menyokong ekonomi Sarawak.
Menerusi kerjasama bersama Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd., Solarvest menubuhkan Makmal Tenaga Hijau (Green Energy Lab) di Sarawak sejak 2023.
Inisiatif itu telah melatih lebih 1,000 rakyat Sarawak dengan kemahiran praktikal dalam teknologi solar dan tenaga hijau dalam tempoh lima tahun, sekali gus membuka peluang pertumbuhan inklusif dalam sektor tenaga.
Dengan peluasan penglibatan EPCC di Borneo, Solarvest yakin dapat memainkan peranan penting dalam membentuk landskap tenaga boleh diperbaharui Sarawak untuk tahun-tahun mendatang. – UTUSAN









