Kematian murid 10 tahun akibat tekanan di leher

Kematian murid 10 tahun akibat tekanan di leher

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bedah siasat terhadap murid lelaki berusia 10 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas lelaki sebuah sekolah rendah di Senawang, di sini semalam mendapati punca kematian adalah akibat tekanan pada leher.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa.

“Setakat ini sebanyak 27 keterangan telah dirakam dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan termasuk mengenal pasti punca tindakan sebelum kejadian sehingga kepada siasatan semasa mangsa dijumpai tidak sedarkan diri dalam tandas.

“PDRM menggesa agar diberi ruang untuk menjalankan siasatan yang telus dan dilaksanakan dengan mengambil kira pematuhan terhadap sensitiviti kanak kanak.

“Ini kerana kanak-kanak dilindungi di bawah peruntukkan Undang Undang Akta Kanak Kanak 2001 dan siasatan juga melibatkan saksi kanak kanak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Alzafny berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi tidak berasas yang boleh mengganggu proses siasatan.

Semalam menerusi kenyataaan, beliau mengklasifikasikan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 507 C Kanun Keseksaan iaitu membabitkan buli.

Beliau berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 1.19 tengah hari.

Mangsa telah dihantar oleh guru disiplin untuk menerima rawatan di sebuah klinik swasta namun doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Malam semalam, Kementerian Pendidikan mengesahkan insiden seorang murid ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah rendah di daerah ini sebelum meninggal dunia.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×