PETALING JAYA: Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) memperkenalkan ciri baharu iaitu AssuredLove yang menawarkan pilihan bayaran faedah kematian secara tahunan mengikut tempoh lima atau 10 tahun.
Langkah itu bertujuan membantu pemegang polisi insurans hayat merancang legasi kewangan dengan lebih teratur dan memastikan kestabilan sokongan kepada benefisiari.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life, Charles Ong berkata, AssuredLove memberi nilai tambah kepada pelanggan kerana ia bukan sekadar perlindungan insurans, malah simbol kasih sayang berpanjangan yang dirancang dengan penuh pertimbangan.
“Dengan menawarkan pilihan bayaran faedah kematian yang fleksibel, kami mahu membantu pemegang polisi mengurus legasi mereka dengan lebih berkesan, memastikan orang tersayang sentiasa dilindungi mengikut keadaan unik masing-masing.
“Melalui produk tersebut, pemegang polisi boleh memilih tempoh bayaran lima atau 10 tahun. Bagi tempoh lima tahun, bayaran tahun pertama ialah 28 peratus daripada faedah kematian, diikuti 18 peratus setahun untuk empat tahun berikutnya,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, bagi tempoh 10 tahun, bayaran tahun pertama kekal 28 peratus, manakala baki diagihkan lapan peratus setahun bagi sembilan tahun berikutnya.
“Faedah tambahan turut disediakan apabila baki faedah kematian selepas bayaran pertama akan dikenakan faedah dan dibayar bersama bayaran terakhir atau apabila AssuredLove ditamatkan.
“Ciri baharu itu boleh digabungkan dengan polisi sedia ada tanpa kos tambahan dan turut ditawarkan bersama produk jumlah perlindungan lain termasuk Allianz EverLink Signature, Allianz EverLink Plus, Allianz PremierLink, Allianz PremierLink Advance dan Allianz PrimeCover,” katanya.
Allianz Life menjelaskan, AssuredLove kini tersedia kepada semua pemegang polisi yang layak sekali gus memberi peluang untuk menyesuaikan manfaat insurans hayat dengan matlamat kewangan masing-masing. – UTUSAN










