PETALING JAYA: Siasatan polis berhubung sekumpulan penunggang motosikal yang mengancam keselamatan sebuah kereta Perodua Myvi, yang tular di media sosial, Ahad lalu akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, dua lagi remaja lelaki berusia 16 tahun di Puchong, semalam yang disyaki terbabit kejadian itu.
“Kedua-dua mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan dan kita akan rujuk kertas siasatan kes kepada TPR untuk tindakan selanjutnya,”katanya ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.
Difahamkan, salah seorang remaja yang ditahan disyaki memecahkan cermin belakang kereta pengadu.
Sebelum ini media melaporkan, sembilan lelaki termasuk enam remaja ditahan polis selepas terbabit dalam insiden berkenaan.
Semua suspek berusia antara 13 hingga 21 tahun itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan yang dijalankan sekitar Puchong serta Shah Alam pada Ahad dan Isnin lalu.
Penahanan itu dibuat susulan laporan yang diterima daripada seorang lelaki berusia 52 tahun yang juga pengawal keselamatan.
Dalam insiden cemas berhampiran Plaza Tol Batu 13, Puchong itu, pemandu kereta terbabit, seorang pengawal keselamatan berusia 52 tahun, terpaksa menahan detik ketakutan apabila dikepung kumpulan samseng jalanan berkenaan. – UTUSAN










