KUALA LUMPUR: Helah warga asing masuk ke Malaysia konon ingin bekerja sebagai pembantu rumah sebaliknya berkhidmat pelayan pelanggan (GRO) terbongkar selepas mereka ditahan dalam Op Gegar di sebuah pub di Sri Hartamas, di sini, malam tadi.
Penahanan 39 warga asing dan tiga individu itu dilakukan dalam operasi bermula pukul 12 tengah malam.
Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, hasil risikan mendapati sebahagian besar tangkapan membabitkan wanita warga asing yang menyalahgunakan pas yang dikeluarkan.
“Mereka memegang pas Pembantu Rumah Asing dan sepatutnya bekerja sebagai pembantu rumah asing, tetapi menyalahgunakan pas itu dengan bekerja sebagai GRO tau peneman pelanggan
“Seramai 63 individu diperiksa dan 42 ditahan terdiri daripada tiga lelaki tempatan dipercayai berperanan sebagai pengurus premis, wanita Thailand (22), wanita Vietnam (9) disyaki GRO dan lapan pekerja lelaki Bangladesh,” katanya pada sidang akbar di lokasi serbuan malam tadi.
Wan Mohammed Saupee berkata, wanita terbabit dipercayai menerima tip bermula RM100 ke RM500 berdasarkan penemuan kalungan khas yang memaparkan jumlah tip.
“Serbuan dijalankan hasil risikan pihaknya selama satu bulan susulan aduan awam berhubung kehadiran sejumlah pekerja warga asing yang menyalahgunakan pas,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Wan Mohammed Saupee berkata, kesemua warga asing terbabit dibawa ke JIM Kuala Lumpur bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c), dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sementara itu wartawan yang mengikuti operasi mendapati pelbagai alasan digunakan wanita terbabit antaranya datang minum, berhibur bersama kawan dan ada juga antara mereka cuba melarikan diri walaupun memakai skirt pendek serta bertumit tinggi.
Selain itu, ada juga antara mereka yang ditemui menyorok di dalam kotak, di bawah tangga dan di celah dinding dengan harapan tidak ditemui pihak berkuasa.
Wartawan difahamkan gadis berkenaan berfungsi sebagai peneman bagi pengunjung berhibur dan pada masa sama meningkatkan jualan minuman keras. – UTUSAN









