Tiada kompromi tindakan Israel halang misi Sumud Flotila

Tiada kompromi tindakan Israel halang misi Sumud Flotila

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia tidak berkompromi terhadap tindakan Israel yang menahan misi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa termasuk daripada segi keselamatan rakyat Malaysia terlibat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mengulangi pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan menggunakan segala saluran sah bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan.

Katanya, dunia sekali lagi menyaksikan wajah sebenar Israel sebuah rejim penjajah yang tidak menghormati undang-undang, tidak menghormati nyawa, malah sanggup menindas misi bantuan ke Gaza. 

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan ini. Kapal-kapal ini membawa sukarelawan dan bekalan penting untuk rakyat Palestin yang menderita akibat sekatan zalim, namun mereka berdepan intimidasi, kekerasan dan paksaan.

“Misi ini adalah simbol solidariti, kasih sayang dan harapan dunia terhadap Palestin. Tindakan Israel bukan sahaja satu bentuk kezaliman terhadap rakyat Gaza, tetapi juga penghinaan terhadap suara kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan.

Setakat ini, seramai 12 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera Israel, menurut Sumud Nusantara.

Dua rakyat negara ini iaitu Heliza Helmi dan Hazwani Helmi merupakan peserta terbaharu ditahan Israel.

Setakat ini, lapan delegasi Malaysia ditahan adalah Pelakon Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga, manakala Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli daripada kapal Sirius.

Selain itu, Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil yang menaiki kapal Alma dan Farah Lee serta Danish Nazram daripada Grande Blue.

Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri mengikuti rapat perkembangan misi ini sejak awal, malah turut berhubung dengan wira-wira kemanusiaan Malaysia. 

“Saya tahu dugaan mereka amat besar, cabaran yang dihadapi tidak mudah. Namun doa seluruh rakyat Malaysia sentiasa bersama mereka. Semoga Allah melindungi dan mengurniakan kekuatan untuk mereka meneruskan misi mulia ini.

“Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Palestin, sehingga keadilan dan kebebasan menjadi milik mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×