KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dicadang menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat isu pemilihan pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya yang didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darulnaim (Kelate.Net) Mohd. Nurul Mohd. Yusoh berkata, langkah itu bagi menjawab persoalan yang timbul berkaitan ketelusan proses naturalisasi pemain serta kriteria pemilihan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Kita mahu satu suruhanjaya bebas ditubuhkan oleh KBS yang melibatkan wakil daripada pelbagai pihak termasuk bekas pemain kebangsaan, wakil media sukan, badan bebas, dan juga penyokong.
“Ini bagi memastikan tidak ada elemen pilih kasih, campur tangan luar atau keputusan berasaskan kepentingan peribadi dalam isu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Nurul memberitahu, Kelate.Net tidak menolak kehadiran pemain warisan, tetapi proses pemilihan mesti dibuat secara telus dan berlandaskan merit.
Katanya, selain itu soal komitmen dan kualiti yang dibawa pemain untuk mengangkat prestasi negara perlu dijadikan sebagai salah satu kriteria pemilihan.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Nurul berkata, Malaysia tidak ketandusan pemain berbakat yang mampu menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa.
Katanya, beberapa pemain tempatan yang menyerlah dalam saingan Liga Malaysia ketika ini perlu diberikan perhatian oleh pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski. – UTUSAN










