DI ketinggian 6,000 kaki dari aras laut, kereta kuda mewah sudah menanti untuk membawa Cinderella ke dunia fantasi penuh magis.
Tiara berkilauan, rantai anggun dan sepasang kasut kaca melengkapkan penampilan bak puteri yang bersedia menari di istana.
Itulah pengalaman unik yang menanti di 1001 Nights Hotel, Trademark Collection by Wyndham di Genting Highlands.
Hotel bertema tertinggi di Malaysia ini menjadikan kisah dongeng bukan sekadar khayalan tetapi dihidupkan melalui dekorasi bilik memukau.
Jika Cinderella menampilkan sisi romantis, Alice in Wonderland pula membawa pengunjung menjelajah ke alam penuh imaginasi.
Bagi yang sukakan kecomelan, tema Panda menanti, manakala watak legenda Wu Kong menghidupkan aura epik.
Tidak ketinggalan tema Rock Starz yang menonjolkan sisi glamor penuh bergaya.

Setiap satunya menjanjikan pengalaman berbeza dan mewah.
Lebih indah apabila kabus dingin tanah tinggi menyelubungi jendela, menjadikan suasana terasa seperti berada di atas awan.
Selain bilik bertema, tetamu berpeluang menikmati keseronokan mandi-manda di kolam infiniti dan kanak-kanak yang berhawa panas.
Kemudahan lain ialah spa, gimnasium, bilik sauna, restoran dan lounge premium.

Hoverland
Di bawah satu bumbung, pengunjung boleh menerokai Hoverland, iaitu dek pemerhati yang terletak di ruangan bumbung.
Dari sini, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati panorama 360 darjah Banjaran Titiwangsa yang mempesonakan.
Malah, berpeluang bergambar di zon interaktif seperti stairway to heaven, riser deck dan rhythm at the sky.
Keunikan lain ialah piramid kaca dan ruangan terbuka untuk acara.
Anda juga berpeluang menikmati panorama matahari terbenam yang indah dari ketinggian ini.

Kafe Hard Rock tertinggi dunia
Antara tarikan lain di hotel ini ialah kafe Hard Rock Genting Highlands di aras 50.
Kafe Hard Rock terbaharu ini merupakan yang kedua tertinggi di dunia selepas La Paz, Bolivia.
Malah, ia merupakan satu-satunya yang dilengkapi kemudahan kolam renang di ruangan cabana di bahagian luar.
Pengurusnya, Hafidz Ramly berkata, pengunjung berpeluang menonton persembahan muzik secara langsung sambil menjamu selera.
Antara menu ikoniknya ialah legendary steak burger.
Lebih istimewa, kafe ini turut mempamerkan barangan peribadi milik penyanyi Datuk Awie.











