SEPANG: Sebanyak 10 buah dron dianggarkan berlegar dalam formasi mencurigakan mengelilingi ruang udara konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang belayar menuju ke Gaza.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya mengesahkan terdapat cubaan intimidasi dari kapal tentera yang diyakini milik pihak Zionis Israel terhadap dua kapal flotilla, Sirius dan Alma.
“Kapal tentera itu telah mengelilingi Sirius dan Alma serta menganggu sistem komunikasi dua buah kapal tersebut termasuk siaran litar tertutup.
“Buat masa ini, tiada insiden yang menjejaskan misi walaupun terdapat percubaan intimidasi termasuk kehadiran kapal tentera yang dipercayai milik rejim Zionis,” katanya ketika ditemui di sidang media hari ke-31 Misi Kemanusiaan GSF di Sepang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan konvoi GSF bakal memasuki Zon Merah Tiga pada jam 9 malam waktu Malaysia, hari ini.
“Bot flotilla telah memasuki Zon Kuning terakhir pada 4.20 pagi waktu Malaysia.
“Kini, konvoi tersebut sedang bergerak ke arah Zon Merah Tiga, iaitu 100 batu nautika dari Gaza dan dijangka untuk masuk ke zon itu pada pukul 9.00 malam ini,” katanya.-UTUSAN










