PETALING JAYA: Malayan Banking Bhd (Maybank) berjaya meraih penarafan tertinggi AAA dalam penilaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) oleh MSCI, meningkat daripada penarafan AA sebelum ini.
Menurut kenyataan, pencapaian yang dicapai pada 8 September 2025 itu mengiktiraf kedudukan Maybank setanding rakan seindustri terkemuka di peringkat global.
“Peningkatan tersebut dipacu oleh prestasi kukuh bank itu dalam tonggak alam sekitar dan sosial.
“Bagi tonggak alam sekitar, skor Maybank meningkat kepada 9.5 daripada 10 hasil usaha pembiayaan impak alam sekitar, termasuk pendedahan yang rendah hingga sederhana kepada sektor berintensiti alam sekitar serta penubuhan pasukan khusus bagi memantau risiko ESG dalam aktiviti pembiayaan,” katanya.
Sementara itu, skor tonggak sosial turut melonjak didorong oleh prestasi dalam pembangunan modal insan, akses kepada pembiayaan dan perlindungan kewangan pengguna.
Ia dicerminkan melalui strategi menarik serta mengekalkan bakat, memperluas peluang pembiayaan dan penekanan terhadap perlindungan privasi pelanggan.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, pengiktirafan itu mencerminkan kemajuan bermakna yang dicapai Maybank dalam usaha mewujudkan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini yang menggariskan komitmen kami mewujudkan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan, selain menegaskan fokus strategi M25+ yang menitikberatkan kemampanan dan pertumbuhan bertanggungjawab,” katanya.
Penarafan ESG MSCI menilai ketahanan syarikat terhadap risiko dan peluang berkaitan ESG mengikut industri, dengan skala penarafan daripada AAA (tertinggi) hingga CCC (terendah).
MSCI ESG Research, anak syarikat MSCI Inc., menggunakan metodologi berasaskan peraturan melibatkan data korporat dan sumber alternatif bagi memastikan ketelusan dan kebolehpercayaan penarafan. – UTUSAN










