DALAM dunia yang semakin mencabar, setiap negara sedang mencari formula pembangunan yang mampu menyeimbangkan kemakmuran ekonomi, kestabilan sosial, keselamatan nasional dan pemeliharaan identiti budaya.
China, di bawah kepimpinan Presiden Xi Jinping, memperkenalkan doktrin politik yang dikenali sebagai Xi Jinping Thought on Socialism with Chinese Characteristics for a New Era.
Walaupun ia dirangka khusus untuk konteks China yang unik, beberapa prinsipnya boleh dijadikan inspirasi oleh Malaysia tanpa menjejaskan sistem demokrasi, kebebasan awam dan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan negara.
China berjaya menyatukan ideologi nasional melalui pendidikan dan dasar yang berterusan. Malaysia juga memiliki asas seperti Rukun Negara dan konsep Malaysia Madani. Namun, nilai-nilai murni ini sering kali hanya tinggal sebagai slogan.
Pendidikan sivik di sekolah perlu diperhebat dengan pendekatan praktikal yang membudayakan nilai integriti, perpaduan dan patriotisme dalam kehidupan seharian rakyat.
Jinping memulakan reformasi melalui projek kecil di kampung seperti biogas dan pertanian moden. Malaysia boleh mengadaptasi pendekatan ini melalui penubuhan Makmal Inovasi Desa, iaitu ruang untuk komuniti mencuba teknologi pertanian pintar, tenaga boleh diperbaharui dan perusahaan sosial.
Kejayaan setempat ini boleh menjadi pemangkin kepada perubahan nasional.
China menggunakan aplikasi digital untuk meningkatkan ketelusan dan kecekapan pentadbiran. Malaysia pernah menunjukkan kemampuan melalui MySejahtera. Kini, tiba masanya untuk mewujudkan aplikasi nasional yang membolehkan rakyat mengakses maklumat dasar, menyertai tinjauan awam dan menilai keberkesanan projek kerajaan secara telus dan demokratik.
Jinping menekankan keselamatan bukan hanya soal ketenteraan tetapi merangkumi makanan, siber, tenaga dan budaya. Malaysia perlu mewujudkan Majlis Ketahanan Nasional yang memantau pelbagai ancaman kontemporari termasuk penyebaran maklumat palsu, pergantungan makanan import dan risiko iklim.
Jinping memperkenalkan konsep ‘komuniti berkongsi nasib sesama manusia’ untuk menempatkan China sebagai kuasa global. Malaysia juga harus membina identiti antarabangsa melalui doktrin Malaysia Sebagai Negara Penghubung antara Timur dan Barat, Islam dan bukan Islam, dunia membangun dan maju. Naratif ini mampu memperkukuh peranan Malaysia dalam ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pelbagai platform antarabangsa.
China menilai prestasi pegawai berdasarkan hasil kerja dan kesetiaan terhadap negara. Malaysia boleh mengambil pendekatan ini secara demokratik dengan menilai keberkesanan tugas dan amalan nilai teras seperti integriti dan perpaduan. Ini akan menjadikan perkhidmatan awam lebih berorientasikan rakyat dan nasionalisme inklusif.
Konsep peradaban ekologi yang dibawa oleh Jinping menjadikan pemeliharaan alam sekitar sebagai sebahagian daripada identiti negara.
Malaysia, yang kaya dengan biodiversiti, perlu mengangkat hutan hujan, spesies endemik dan amalan pertanian lestari sebagai tanggungjawab moral kepada dunia, bukan semata-mata aset ekonomi.
Kesemua cadangan ini boleh dilaksanakan tanpa meniru sistem autoritarian China. Malaysia boleh menyesuaikan prinsip tersebut dalam kerangka demokrasi berparlimen dan masyarakat majmuk. Apa yang penting ialah keberanian politik untuk memastikan dasar kekal konsisten dan tidak berubah-ubah mengikut silih ganti kerajaan.
Jika Malaysia benar-benar ingin maju, kita perlu keluar daripada perangkap politik jangka pendek dan membina satu visi nasional yang merentasi parti dan generasi.
Meneladani kekuatan negara lain bukan tanda kelemahan tetapi lambang kebijaksanaan. Jinping berjaya memajukan China kerana beliau meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan politik.
Malaysia juga mampu, dengan caranya yang lebih demokratik, inklusif dan berjiwa rakyat.-UTUSAN
NADIA ABDUL RASHID
Alam Impian, Shah Alam










