Perpaduan nasional: Pemimpin perlu menjadi teladan

Perpaduan nasional: Pemimpin perlu menjadi teladan

PERPADUAN perlu bermula daripada barisan kepimpinan yang menunjukkan teladan terbaik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya ingin menyentuh sedikit berkenaan isu perpaduan yang sering kali menjadi topik utama ucapan dan kenyataan pimpinan negara sejak kebelakangan ini. Walaupun perpaduan sering ditekankan sebagai elemen penting dalam pembinaan negara bangsa, realitinya wujud beberapa cabaran besar yang perlu ditangani dengan jujur dan berani.

Salah satu persoalan pokok ialah perpecahan yang berlaku dalam arena politik itu sendiri. Perpecahan ini, jika diteliti, sering berpunca daripada sikap dan tindakan yang bertentangan dengan semangat demokrasi.

Tindakan seperti memecat pihak-pihak tertentu yang sebenarnya berusaha menegakkan prinsip demokrasi, semata-mata kerana mereka bersuara menentang salah laku, amat mengecewakan.

Kita perlu sedar asas perpaduan bermula daripada keikhlasan dan integriti dalam kepimpinan. Justeru, para pemimpin terutamanya politik seharusnya menjadi contoh teladan dalam semua aspek, sama ada dari segi akhlak, tutur kata, mahupun keputusan yang dibuat.

Pemimpin tidak boleh menunjukkan sebarang sikap yang boleh mengeruhkan keadaan atau mencetuskan perpecahan, lebih-lebih lagi dalam suasana negara yang rencam dari sudut kaum, agama dan ideologi.

Jika kita benar-benar serius mahu membina perpaduan yang kukuh, maka langkah pertama ialah dengan memperbetulkan keadaan dalam sistem politik itu sendiri.

Amalan dwistandard, retorik tanpa tindakan, serta penyalahgunaan kuasa hanya akan menjauhkan rakyat daripada ideal perpaduan sebenar. Kepimpinan yang adil, terbuka kepada kritikan dan tegas menolak salah laku akan lebih mudah membina kepercayaan rakyat.

Ringkasnya, perpaduan bukan sekadar slogan atau kempen. Ia harus bermula daripada barisan kepimpinan yang menunjukkan teladan terbaik. Hanya dengan itu, perpaduan yang tulen dan berpanjangan dapat dibina dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.-UTUSAN

TEROPONG JAUH
Jerantut, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×