PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki warga Sri Lanka ditahan kerana menyamar sebagai rakyat negara ini untuk memohon pasport Malaysia dengan mengupah wanita tempatan menyamar sebagai ibu kandung.
Kejadian berlaku sekitar pukul 10.15 pagi apabila seorang kanak-kanak berusia 10 tahun bersama ‘ibunya’ berurusan di kaunter Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata berkata, pegawai imigresen meneliti surat beranak kanak-kanak berusia 10 tahun terbabit dan salinan kad pengenalan ibu namun secara fizikalnya kanak-kanak ini lebih berusia dari usia asalnya.
“Pegawai cuba berkomunikasi Bahasa Melayu asas kepada suspek pertama dengan bertanyakan beberapa soalan asas dan umum, namun nyata dia tidak dapat memberi maklumbalas dan tidak faham apabila diarahkan membuat pengesahan biometrik cap jari kanan dan kiri.
“Suspek kedua yang menyamar sebagai ibu kepada pemohon warga Sri Lanka ini disoal siasat oleh penyelia dan pegawai kanan bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil keterangan mendapati suspek diarahkan oleh satu sindiket yang membantu warga Sri Lanka memperoleh Pasport Malaysia dengan modus operandi mengemukakan sijil kelahiran anak kandung suspek manakala warga Sri Lanka terbabit menyamar sebagai anak kandungnya.
“Bertindak atas arahan Ketua Imigresen UTC Pudu Sentral, mereka ditahan mengikut Akta Pasport 1966 (Akta 150) bagi penyiasatan lanjut dan merampas beberapa dokumen serta telefon bimbit yang digunakan sebagai medium perantara sindiket dan suspek.
“Tindakan menyamar sebagai warga Malaysia untuk memperoleh pasport adalah satu penipuan sistematik yang menjejaskan keselamatan negara. Warganegara yang dokumen mereka disalahgunakan berdepan risiko penyalahgunaan identiti, masalah undang-undang dan rekod jenayah palsu,” jelasnya.
Kata beliau, pihak JIM Kuala Lumpur akan mengembangkan siasatan bagi mengesan ahli rangkaian sindiket terbabit yang cuba memperolehi dokumen pasport antarabangsa secara tidak sah.
“JIM ingin memberi jaminan bahawa prosedur pengeluaran pasport adalah ketat dan teliti termasuk penggunaan teknologi bagi memastikan dokumen tidak jatuh ke tangan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba menyalahi undang-undang tanpa kompromi,” katanya. – UTUSAN










