TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) memulakan proses mengusir kira-kira 400 rakyat Iran di bawah dasar keras imigresen Presiden, Donald Trump.
Kumpulan pertama dijangka tiba di Qatar sebelum meneruskan penerbangan ke Teheran, menurut pegawai AS dan Iran.
Seorang pegawai AS yang enggan dikenali berkata, kumpulan tersebut terdiri daripada individu yang disabitkan kesalahan jenayah serta mereka yang memasuki negara itu secara haram.
Langkah ini menandakan detik luar biasa kerjasama antara Washington dan Teheran, dua negara yang lama berseteru berhubung program nuklear Iran.
Teheran menegaskan programnya bersifat awam, manakala Washington menuduh ia bertujuan menghasilkan senjata nuklear.
Seorang pegawai Iran menolak anggapan wujud sebarang perjanjian politik dengan AS, yang sebelum ini bersama Israel melancarkan serangan udara terhadap fasiliti nuklear Iran pada Jun lalu.
Beliau menegaskan perkara ini hanya urusan konsular, bukannya politik.
Sementara itu, Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) berkata, pihaknya tidak dirujuk mengenai proses tersebut dan enggan mengulas kes tertentu.
“Secara umum, negara perlu memastikan akses kepada suaka, proses undang-undang yang adil, serta menghormati prinsip non-refoulement.
“Prinsip ini adalah larangan mengembalikan individu yang berisiko menghadapi bahaya di negara asal mereka,” kata UNHCR.-AGENSI











