PETALING JAYA: Jaguh lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli mengakui semakin bersemangat untuk memburu pingat emas dalam aksi hari ini selepas melihat kejayaan Datuk Abdul Latif Romly mencatat rekod dunia dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di New Delhi.
Abdul Latif Romly merangkul pingat emas dalam acara lompat jauh T20 dengan lompatan 7.67 meter (m) pada Ahad lalu.
Catatan itu membolehkan Abdul Latif memperbaharui rekod dunia miliknya, 7.64m yang dilakukan di Sukan Para Asia 2018.
Namun, Ziyad berkata, dia tidak mahu terlalu meletakkan sasaran yang terlalu tinggi sehingga memberi kesan negatif terhadap dirinya.
“Semestinya kejayaan Abdul Latif membakar semangat saya. Insya-Allah, saya tak tahu lagi rezeki atau nasib saya macam mana dalam kejohanan ini tapi sebagai atlet sudah pasti saya mahu lakukan sesuatu yang luar biasa pada hari pertandingan.
“Tengok rezeki, sama ada saya boleh atau tidak pecahkan rekod Asia atau lebih daripada itu.
“Semestinya saya berkeinginan mahu dapatkan pingat emas dan memecahkan rekod tapi saya tak nak terlalu bagi tekanan pada diri sendiri sampai menyebabkan diri saya stress,” katanya.
Tahun lalu, Ziyad membawa pulang emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Jepun selepas melakukan lontaran 17.43m sekali gus memperbaiki rekod Asia miliknya, 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 dekat London. – UTUSAN








