11 warga Serbia didakwa letak kepala babi depan masjid, cemari kuil Yahudi - Utusan Malaysia

11 warga Serbia didakwa letak kepala babi depan masjid, cemari kuil Yahudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELGRADE: Polis Serbia menahan 11 individu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mencetuskan kebencian di Perancis dan Jerman, termasuk perbuatan meletakkan kepala babi di luar masjid serta mencemarkan tapak kuil Yahudi.

Kementerian Dalam Negeri Serbia semalam memaklumkan, semua yang ditahan adalah rakyat tempatan dan dipercayai menerima latihan daripada seorang suspek lain yang bertindak mengikut arahan sebuah agensi perisikan asing.

Suspek berkenaan kini masih diburu oleh pihak berkuasa.

Menurut pihak berkuasa, kumpulan itu didakwa terbabit dalam beberapa siri perbuatan provokatif sejak April hingga September tahun ini, antaranya menyimbah cat hijau pada peringatan Holocaust dan tiga buah rumah ibadat Yahudi di Perancis, selain meninggalkan kepala babi di beberapa masjid sekitar Paris.

Turut dilaporkan, kumpulan itu meninggalkan struktur konkrit berbentuk rangka dengan mesej tertentu di tapak mercu tanda Brandenburg Gate di Berlin.

“Objektif mereka adalah untuk menyebarkan fahaman kebencian, diskriminasi dan menghasut keganasan berasaskan perbezaan,” kata kenyataan kementerian itu.

Penahanan itu dibuat hanya beberapa minggu selepas insiden terbaharu yang mencetuskan kemarahan penduduk Perancis apabila sekurang-kurangnya sembilan masjid di sekitar Paris didapati diletakkan kepala babi di perkarangan masing-masing.

Pihak pendakwa raya Perancis mendakwa kejadian itu dilakukan warga asing dengan niat jelas mahu menimbulkan huru-hara dalam negara.

Dua suspek dipercayai melarikan diri ke Belgium hanya beberapa jam selepas insiden berkenaan.

Pendakwa Raya Paris, Laure Beccuau, berkata modus operandi serangan terhadap masjid menyerupai siri insiden lain yang menggoncang Perancis sejak dua tahun lalu, termasuk perbuatan melukis kira-kira 60 simbol bintang Daud pada bangunan di Paris serta menyembur cat tangan merah pada peringatan Holocaust di ibu negara itu.

Katanya, kebanyakan serangan dilakukan warga Eropah Timur yang mengambil gambar perbuatan mereka sebelum dihantar kepada pihak tertentu di luar negara, dipercayai sebagai bukti arahan pihak asing.

Sebelum ini, tiga warga Serbia ditahan pada Mei lalu kerana disyaki terbabit dalam insiden menyimbah cat hijau pada memorial Holocaust dan rumah ibadat Yahudi, manakala empat warga Bulgaria dijadual dibicarakan bulan depan berhubung kes semburan cat tangan merah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×