Motif bunga tanjung hiasi kebaya Cik Afzaa Fadini

Motif bunga tanjung hiasi kebaya Cik Afzaa Fadini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz menjadi bualan ramai sejak pengumuman perkahwinan dengan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Isnin lalu.

Pesonanya terserlah dalam potret rasmi tatkala menggayakan kebaya panjang menawan hasil sentuhan jenama fesyen tempatan, Merah Jambu.

Pengasas dan perekanya, Hana Sallahuddin berkata, rekaan itu sengaja dipilih bagi menonjolkan keanggunan klasik pada bakal suri hati Raja Muda Selangor.

Malah, potongannya mengekalkan elemen warisan dengan lipatan lidah di bahagian hadapan dan kain kipas di belakang.

“DNA Merah Jambu adalah pada rekaan tradisi yang elegan, klasik dan tidak lekang dek zaman.

“Jadi, apabila Cik Afzaa Fadini ingin menempah persalinan rasmi, lantas saya memilih kebaya panjang khas buatnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

 

Istiadat Pernikahan Diraja antara Raja Muda Selangor dan Cik Afzaa Fadini akan diadakan di Masjid Istana Diraja di Istana Alam Shah di Klang, Khamis ini.

Bagi mendapatkan inspirasi, Hana Fariza banyak merujuk gambar-gambar permaisuri dan sultanah pada zaman dahulu.

Dari segi fabrik pula, katanya, persalinan jelitawan lulusan King’s College London itu menggunakan renda Perancis dan sutera rona champagne.

Ia turut diindahkan dengan kemasan manik halus Jepun.

Istimewanya, kemasan itu turut memaparkan motif bunga tanjung yang merupakan bunga rasmi Selangor.

“Kerongsang pun direka dengan bentuk bunga sama bagi melengkapkan keanggunan klasik persalinan ini,” katanya.

 

Siap dalam dua bulan
Proses perbincangan serta jahitan bermula sejak April lalu dan disiapkan dalam tempoh dua bulan.

Hana bersyukur atas kepercayaan penuh yang diberikan Cik Afzaa Fadini dalam penghasilan persalinan rasmi itu.

“Pengendalian persalinan ini dibuat dengan sangat teliti kerana fabriknya lembut dan sarat manik,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, rekaan kebaya panjang kini mendapat sambutan hangat daripada kalangan pelanggan selepas melihat persalinan Cik Afzaa Fadini.

“Sebelum ini, kebanyakan pelanggan lebih cenderung menempah kebaya pendek tetapi kini trend beralih kepada versi panjang,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Psikologi ini.

Jenama Merah Jambu yang diasaskan Hana sejak 2018 itu terkenal dengan keindahan busana tradisi dan perkahwinan Melayu tradisional.

Antara pelanggannya ialah kerabat diraja Selangor, Pahang dan Perak di samping selebriti.

Merendah diri, bijak
Pertama kali bekerjasama dengan Cik Afzaa Fadini, Hana menyifatkan beliau sebagai seorang yang merendah diri.

Walaupun memiliki latar pendidikan dari universiti terbaik di dunia, sikapnya sangat mesra dan mudah didekati.

“Dengan kebijaksanaannya, beliau sangat sepadan sebagai suri hati Raja Muda Selangor.

“Saya mendoakan urusan perkahwinan pengantin Diraja ini dirahmati Allah dan berbahagia hingga ke syurga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN