KANGAR: Seluruh pemain industri pembinaan di negeri ini diseru memanfaatkan sepenuhnya program, latihan dan peluang disediakan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersama kerajaan Persekutuan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, para kontraktor, perunding, pelajar dan seluruh warga industri pembinaan di negeri ini perlu bersama-sama memperkukuh daya saing dengan beradaptasi bersama teknologi baharu.
Titah baginda, pihak terlibat juga disaran agar dapat mendukung aspirasi pendigitalan negara supaya industri pembinaan di Perlis terus maju dan seiring dengan negeri-negeri lain.
“Dengan adanya pejabat baharu CIDB Perlis ini, saya yakin ia akan membuka lembaran baharu dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan industri,” titah baginda pada majlis perasmian pejabat CIDB negeri di Kangar Jaya, di sini, hari ini.
Ketibaan baginda disambut oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli yang turut dihadiri Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Zainora Zainal serta Pengarah CIDB negeri, Yusrill Haffiz Hamzah.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pembukaan pejabat baharu CIDB Perlis merupakan satu pencapaian penting dan amat bermakna buat negeri ini.
“Industri pembinaan di Perlis kini semakin berkembang pesat, berdaya tahan dan berpotensi besar untuk terus menyumbang kepada agenda pembangunan negara.
“Angka-angka yang direkodkan setakat ini jelas membuktikan bahawa sektor itu menjadi antara pemacu utama pertumbuhan sosio ekonomi negeri,” titah baginda.
Pada masa sama, baginda turut menyeru agar warga kerja CIDB dapat menjadikan kemudahan di pejabat baharu yang lebih selesa dan moden itu sebagai pemangkin dalam meningkatkan mutu kerja serta memperkukuhkan penguatkuasaan.
“Ini termasuk dengan memperluaskan latihan serta program-program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di samping mendokong transformasi digital industri melalui teknologi baharu seperti Building Information Modelling (BIM).
“Peranan anda amatlah besar dalam memastikan kontraktor tempatan mendapat sokongan yang sewajarnya agar mereka mampu meningkatkan kapasiti, memperkukuh daya saing dan seterusnya menembusi pasaran lebih luas,” titah baginda. – UTUSAN










