ALOR SETAR: Orang ramai dinasihatkan tidak tergesa-gesa mengisi petrol ekoran pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) yang dibuka sepenuhnya kepada keseluruhan rakyat bermula tengah malam ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pihaknya menjangkakan kesesakan di stesen minyak susulan fasa ketiga BUDI95 yang dibuka kepada 16 juta warganegara berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.
“Jangan tergesa-gesa nak pergi beli minyak pada harga RM1.99. Program ini bukan satu hari sahaja, bukan satu minggu malah bukan satu bulan tapi untuk jangka masa panjang.
“Saya tahu seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebelum ini semua nak pergi cuba, tapi kita harap semua jangan tergesa-gesa sebab kita jangka esok mungkin lebih ramai akan pergi cuba dengan kad pengenalan mereka,” katanya ketika ditemui selepas hadir pada Program Pengisian BUDI95 di sebuah stesen minyak di sini hari ini.
Kata beliau, sebanyak 11.5 juta liter petrol RON95 bersubsidi berjaya ditebus semalam pada harga RM1.99 seliter menerusi fasa kedua pelaksanaan BUDI95 yang melibatkan lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di seluruh negara. – UTUSAN










