PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta semua pihak bertenang selepas badan induk itu mengambil langkah mencari penyelesaian berhubung isu hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang turut melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Naib Presiden FAM, Datuk Dollah Salleh berkata, perbincangan sudah dilakukan pihak atasan bagi mencari jalan penyelesaian isu berkenaan.
Justeru, beliau meminta semua pihak bertenang dan memberi peluang kepada FAM untuk mengemukakan rayuan kepada FIFA dalam tempoh 10 hari selepas hukuman dijatuhkan Jumaat lalu.
“Saya percaya pihak atasan dan kami sebenarnya sudah mengadakan perbincangan. Saya yakin, seperti yang saya katakan, kita perlu tunggu dalam tempoh 10 hari ini.
“Itulah yang menjadi masalahnya. Jadi, kita tunggu dan lihat sahajalah,” katanya ketika ditemui media pada Klinik Bola Sepak Bandar Tun Razak, semalam.
Difahamkan, delegasi FAM kini berada di ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland bagi mengemukakan rayuan.
Beliau turut mempersoalkan keputusan FIFA yang dianggapnya agak pelik kerana pada Jun lalu badan induk bola sepak dunia itu memberikan kelulusan ke atas tujuh pemain berdarah warisan untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya.
“Kalau kita lihat pun, benda ini awal-awal sudah ada keputusan, sudah ada pelepasan (untuk beraksi), kenapa pula sekarang (tindakan FIFA)? Kita tunggu 10 hari nanti, saya percaya mesti ada keputusan positif untuk FAM,” katanya.
Terdahulu, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi buat negara dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta. – UTUSAN










