ARAU: Tidak mahu menyusahkan keluarga, seorang anak muda sanggup menempuh perjalanan lebih 500 kilometer (km) dari Sepang ke Perlis dengan menunggang motosikal untuk mendaftar sebagai pelajar baharu di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di sini, semalam.
Muhammad Zahirul Hakim Zali, 22, mengambil masa selama lapan jam perjalanan untuk sampai ke universiti berkenaan yang disambut oleh Naib Canselor Unimap, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli di pintu utama kampus universiti berkenaan kira-kira pukul 8.15 pagi.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Teknologi Robotik dan Automasi) Unimap itu antara 2,779 pelajar baharu program Ijazah Sarjana Muda yang mendaftar dalam sesi akademik 2025/2026 itu.
Kata anak sulung enam beradik itu, dia mengambil keputusan untuk menunggang motosikal bersendirian kerana tidak mahu menyusahkan ibu dan bapa yang perlu menanggung adik-adik yang lain.
Malah katanya, perjalanan seperti itu juga bukan kali pertama kali kerana dia sudah biasa berulang-alik menunggang motosikal ketika mengikuti pengajian diploma sebelum ini.
“Naik bas atau perkhidmatan tren elektrik (ETS) sememangnya selesa, tetapi kosnya mencecah RM100 sehala. Kalau bawa motosikal, perbelanjaan cuma sekitar RM30.
“Pada awalnya, bapa keberatan membenarkan saya merentas negeri seorang diri menaiki motosikal. Tapi lepas tengok disiplin saya dan cara tunggangan yang berhemah, barulah ayah memberi keizinan. Saya bukan jenis rempit, saya ikut lorong yang betul dan patuhi undang-undang jalan raya dengan yang penting, selamat sampai.
“Saya juga lebih selesa memulakan perjalanan pada waktu malam kerana cuaca lebih sejuk dan jalan pun tidak sesak. Kali ini saya tunggang seorang diri, tak banyak berhenti rehat pun. Lebuhraya ini pun sudah seperti rumah kedua bagi saya setiap kali balik kampung atau ke kampus (Unimap),” katanya.
Muhammad Zahirul berkata, segala kepayahan yang ditempuh itu berbaloi apabila akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke Unimap dalam usaha mengejar impian dalam bidang kejuruteraan robotik dan automasi.
“Sepanjang perjalanan itu, saya hanya berhenti sekali di kawasan rehat dan rawat (R&R) Gurun pada awal pagi sebelum teruskan perjalanan ke Unimap,” katanya.
Sementara itu, Zaliman berkata, seramai 2,779 pelajar baharu membabitkan 1,654 pelajar lelaki dan 1,125 perempuan yang mendaftar dalam sesi kali ini untuk mengikuti 37 program ditawarkan oleh tujuh fakulti di universiti tersebut.
“Unimap sentiasa komited melahirkan bakat terbaik negara melalui program akademik yang relevan dan berdaya saing. Tenaga pengajar berpengalaman bersama sokongan fasiliti moden serta penerapan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan pelajar mendapat pengalaman pembelajaran mengikut keperluan semasa,” katanya. – UTUSAN











