Subsidi RON95 benteng rakyat dalam ketidaktentuan harga

Subsidi RON95 benteng rakyat dalam ketidaktentuan harga

KERAJAAN akan melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 bermula esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Subsidi petrol RON95 berfungsi sebagai benteng kepada golongan B40 dan M40, terutama ketika harga minyak mentah dunia kekal tidak menentu, sekali gus berkait rapat dengan kos sara hidup rakyat.

Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, bagaimanapun, ketirisan kekal sebagai cabaran utama apabila bantuan turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi serta pengguna asing.

“Tanpa mekanisme bersasar, beban fiskal kerajaan dijangka meningkat, sekali gus mengecilkan ruang perbelanjaan pembangunan.

“Sehubungan itu, kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar berasaskan data Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) selain menyalurkan bantuan tunai tambahan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Langkah itu dilihat mampu mengimbangi kesan kenaikan harga pasaran dan mengawal inflasi agar tidak melonjak mendadak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam jangka panjang kerajaan perlu mengurangkan kebergantungan kepada subsidi menyeluruh demi menjamin kelestarian fiskal negara.

Mengulas mengenai kesan terhadap Petronas Dagangan Berhad (PetDag), beliau berkata, subsidi RON95 membantu mengekalkan permintaan kerana harga petrol kekal mampu milik.

“Bagaimanapun, margin keuntungan syarikat terhad berikutan harga runcit ditetapkan kerajaan.

“Aspek paling kritikal ialah kelancaran bayaran balik subsidi kerana sebarang kelewatan boleh menjejaskan aliran tunai syarikat.

“Justeru itu, PetDag dijangka meningkatkan tumpuan kepada segmen bukan bahan api termasuk kedai Mesra, produk gaya hidup dan pelaburan tenaga baharu sebagai strategi memperkukuh pendapatan jangka panjang.

Sementara itu, firma penyelidikan CGS International menjangkakan rancangan kerajaan mengehadkan penjualan petrol bersubsidi RON95 dijangka memberi kesan kepada jumlah jualan PetDag.

Firma itu berkata, penggunaan MyKad bagi tujuan pengesahan di stesen minyak serta langkah tambahan bagi mengelakkan penyalahgunaan kuota bulanan 300 liter mungkin akan berjaya mengurangkan pembelian tidak sah sekali gus menekan jualan RON95.

“Namun, penggunaan bahan api oleh rakyat Malaysia secara purata tidak dijangka terjejas berikutan jumlah kuota yang masih dianggap mencukupi,” katanya dalam nota penyelidikan.

Kerajaan akan melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 pada hujung September sebagai usaha mengawal penjualan petrol paling banyak digunakan di negara ini daripada dibeli warga asing dan pemilik kenderaan yang tidak layak.

Buat masa ini, kenderaan berdaftar asing hanya dibenarkan mengisi petrol RON97 yang lebih mahal dan bergred lebih tinggi.

PetDag sebelum ini merekodkan penurunan jualan tahun ke tahun bagi dua suku pertama 2025 susulan tindakan kerajaan memperketatkan kawalan terhadap pembelian diesel bersubsidi secara tidak sah di Sabah dan Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×