PRN Sabah: Kerusi untuk Amanah masih di peringkat rundingan

PRN Sabah: Kerusi untuk Amanah masih di peringkat rundingan

MOHAMAD Sabu (tengah) ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Sektor Pertanian Kampung Guar Petai di Dewan Penempatan Banjir Kampung Labuh Banting, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR : Parti Amanah Negara (Amanah) masih belum dapat memuktamadkan jumlah kerusi yang akan mereka tandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini, perbincangan untuk mendapatkan beberapa kerusi itu masih di peringkat rundingan.

“Belum diketahui lagi (jumlah kerusi yang akan ditandingi). Kita akan cuba dapatkan. Kalau boleh, nak banyaklah (kerusi). Tapi, ikut perundingan yang sedang berjalan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Sektor Pertanian Kampung Guar Petai di Dewan Penempatan Banjir Kampung Labuh Banting, di sini, hari ini.

Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil sebelum ini menyasarkan parti itu akan bertanding sekurang-kurangnya lima kerusi pada PRN Sabah kali ini.

Menurut Muhammad Faiz, ketika ini, Amanah sedang menilai nama-nama calon yang sesuai serta berpotensi untuk menang dan perkara tersebut akan dimuktamadkan oleh Presiden parti nanti.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, hanya kepimpinan tertinggi Amanah yang akan memutuskan mengenai soal pembahagian kerusi untuk parti itu, ketika ini.

“Sebab itu saya kata, pimpinan (parti) di peringkat negeri, Pemuda atau Wanita boleh cadang. Tapi, apa-apa yang mereka nak cadangkan, keputusan akhir ditentukan oleh pimpinan nasional.

“Itu (perkara) biasa dalam mana-mana parti politik,” ujar beliau ketika ditanya mengenai cadangan Amanah Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu sempena konvensyen parti itu, semalam.

Dalam konvensyen terbabit, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dilaporkan berkata, cadangan tersebut hanya timbul sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor nanti.

Katanya, cadangan berkenaan merupakan salah satu daripada tiga usul utama yang dibincangkan oleh perwakilan selain isu berkaitan air serta pelantikan Pengarah Pilihan Raya PH di peringkat negeri.

Difahamkan, PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027 iaitu sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya yang tamat pada tarikh berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×