Penguasaan bahasa Inggeris masih penting

Penguasaan bahasa Inggeris masih penting

PENGUASAAN terhadap bahasa Inggeris juga dilihat menjadi pilihan utama untuk diambil bekerja oleh ramai majikan serta oleh tempat kerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHASA Inggeris adalah bahasa ilmu yang perlu dikuasai sekiranya kita ingin membawa negara kita bergerak ke hadapan.

Sebarang usaha untuk memantapkan penguasaan bahasa ini tidak harus dipandang serong dan rendah oleh mana-mana pihak.

Ia perlu dilihat sebagai salah satu langkah bagi menyediakan pelajar kita menjadi golongan yang lebih berkemahiran serta mampu berdaya saing pada masa akan datang.

Tumpuan bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar ini juga tidak seharusnya dilihat bakal meminggirkan penguasaan terhadap mana-mana bahasa ibunda tempatan kerana usaha juga telah banyak diambil bagi memantapkan penguasaan bahasa ibunda.

Bahasa Inggeris juga sekarang adalah paling banyak digunakan dan merupakan bahasa kedua yang paling banyak dipelajari di serata dunia. Kebanyakan pelajar di seluruh dunia digalakkan untuk mempelajari bahasa Inggeris.

Penguasaan terhadap bahasa Inggeris juga dilihat menjadi pilihan utama untuk diambil bekerja oleh ramai majikan serta oleh tempat kerja.

Dewasa ini, masalah kelemahan menguasai bahasa Inggeris dilihat merisaukan dalam kalangan pelajar-pelajar tidak kira di peringkat sekolah rendah, menengah atau di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Oleh yang demikian, adalah penting supaya semua pihak mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik serta menggunakan bahasa Inggeris terbabit tanpa berasa malu dan takut.

Semua pelajar yang berada disemua peringkat harus diberi lebih banyak latihan dan kursus kemahiran untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Pelajar juga perlu diberi dorongan serta semangat supaya mereka tidak berasa malu dan takut untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi seharian mereka.

Pelajar yang didapati masih lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris perlu dibantu supaya mereka dapat menguasai dan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik dan dengan penuh keyakinan. – UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×